Ikut jejak langkah Faisal Halim, prospek Penang dapat rezeki ke Sri Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 22 Mac 2024

Adib Haqimi (dua dari kiri) beraksi dalam dua penampilan bersama skuad Penang B-23 tahun. — Facebook/PenangFC

BUKAN hanya pemain berpengalaman, senario prospek berhijrah ke kelab lain untuk meneruskan kerjaya bola sepak juga antara skrip jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) yang berlaku musim ini.

Misalnya, Muhammad Danish Syamer Tajuddin iaitu pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan meninggalkan pasukannya dengan menyertai Johor Darul Ta'zim II bagi saingan Piala MFL 2024.

Selain Negeri Sembilan, Penang FC juga mengalami senario sama apabila pemain muda mereka, Muhammad Adib Haqimi Mohd Suhairi juga secara rasminya sudah menjadi sebahagian keluarga Sri Pahang.

Menerusi laman Instagram peribadi, Adib Haqimi berkongsi perkembangan kerjaya bola sepaknya dengan menandatangani kontrak bersama skuad Sri Pahang pada awal Mac baru-baru ini.

"Alhamdulillah, pasukan baharu, cabaran baharu, harapan baharu. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan," tulisnya di Instagram.

BACA LAGI: Pemain akademi Jerman dipanggil Juan Torres tapi fans idam permata Perak dapat peluang ke skuad B-23

WhatsApp Image 2024-03-22 at 17.42.06

Adib Haqimi ketika menandatangani jadual bersama Sri Pahang.

BACA LAGI: ‘Kami dari masa depan’, belum turun padang tapi ramai ramal import Kedah tunggu masa ke JDT

Perpindahan pemain berusia 22 tahun itu ke skuad Tok Gajah sedikit mengecewakan penyokong Penang FC kerana prospek seperti Adib Haqimi patutnya diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad utama ataupun Piala MFL.

Pemain pertahanan skuad Piala MFL Penang itu berpotensi mengikut jejak langkah Faisal Halim yang juga turut menyertai Sri Pahang pada musim 2016 selepas bersama pasukan Bawah 23 (B-23) tahun Penang.

"Semoga berjaya Adib Haqimi bersama Pahang. Kuatkan semangat. Insya-ALLAH akan berjaya menjadi seperti Faisal Halim," kata penyokong Penang FC, Mohamad Zul Helmi.

"Nanti menjadi macam Faisal Halim, kita baru nak claim lah," bagi penyokong Harimau Kumbang, Aweh Fairuz.

"Banyak pemain muda yang bagus tapi kena buang. Sayang ini," tulis penyokong, Iqbal Muhammed.

Walaupun nama Adib Haqimi tidak popular seperti pemain muda lain seperti Alif Ikmalrizal Anuar dan Ahmad Haziq Kutty Abba, namun dia merupakan watak utama pasukan Pulau Pinang ketika temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Pasukan Utara tanah air yang dibimbing oleh Akmal Rizal ketika itu tewas 0-2 di tangan Terengganu pada aksi akhir Sukma 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram