JOHOR Darul Ta'zim (JDT) akan meneruskan persiapan pramusim mereka dengan aksi bertemu kelab Singapura, Lion City Sailors sebanyak dua kali pada awal April.
Perlawanan pertama menyaksikan Harimau Selatan bakal berkunjung ke Stadium Bishan, Singapura pada 4 April sebelum pertembungan kedua berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor empat hari kemudian.
Meskipun hanya aksi persahabatan, kedua-dua pasukan pasti akan memanfaatkannya kerana masing-masing boleh dianggap sebagai antara yang terbaik di negara tersendiri.
JDT yang sudah 10 kali berturut-turut merangkul gelaran Liga Super sudah tidak perlu lagi diperkenalkan kerana reputasi mereka cukup dikenali di rantau Asia Tenggara.
BACA LAGI: Sumbat lebih 50 gol, skuad remaja JDT gegar Kota Singa
Kualiti JDT sememangnya cukup digeruni di pentas Asia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Lion City Sailors pula yang beraksi dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim lalu turut mempunyai misi tersendiri musim depan setelah membawa masuk beberapa nama baharu.
Jadi, pertembungan itu pasti dinanti-nantikan penyokong masing-masing yang mahu meraih kemenangan untuk menyuntik motivasi menjelang saingan akan datang.
Ia turut diakui tonggak kelab Singapura itu, iaitu Hariss Harun yang teruja diberikan peluang berdepan sebuah kelab dengan reputasi seperti JDT.
"Semua orang tahu kualiti mereka. Tetapi, kami pun sedang dalam usaha membangunkan sesuatu dalam Lion City Sailors. Oleh itu, kami mahu menguji keupayaan sendiri ketika aksi itu nanti.
BACA LAGI: JDT terlepas 3 sepakan penalti, Farizal Marlias tambah kedukaan ekor Harimau Selatan
Hariss Harun pernah beraksi beberapa musim bersama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Ini juga satu peluang terbaik kami untuk memberi pendedahan buat pemain muda yang sudah diserap ke dalam pasukan utama kerana masing-masing boleh meraih pengalaman," katanya.
Sebelum ini, Hariss merupakan tonggak utama JDT untuk beberapa tahun dengan pelbagai kejayaan berjaya diraihnya di peringkat domestik mahupun Asia.
Kini, dengan usianya sudah mencecah 33 tahun, pemain kebangsaan Singapura terbabit memilih untuk pulang ke negeri kelahirannya dan meneruskan karier bersama Lion City Sailors sambil memikul peranan kapten.
Sejak menyertai kelab itu pada 2021, Hariss berpeluang menambah koleksi kejuaraannya dengan menjuarai Liga Perdana Singapura 2021 dan Piala Singapura tahun lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram