'Keadaan padang bunuh rentak', Harimau Malaya tempang, janggal di gelanggang sendiri


  • Podium
  • Rabu, 27 Mac 2024

Keadaan rumput di padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang didakwa menjadi punca Harimau Malaya tewas kepada Oman. — Facebook/PSJ

SKUAD Harimau Malaya memilih jalan sukar untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas tewas buat kali kedua berturut-turut di tangan Oman pada Selasa.

Pasukan kendalian Kim Pan-gon yang tewas dengan angka yang sama pada Jumaat lalu, gagal memanfaatkan beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Dalam aksi tersebut, benteng pertahanan skuad kebangsaan gagal menyekat serangan agresif daripada anak-anak buah Jaroslav Silhavy yang berhempas pulas menjinakkan penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi.

Dua watak penting pasukan Oman berjaya merobek gawang skuad kebangsaan ialah Omar Al Maliki dan Mohammed Al-Ghafri yang masing-masing mencetak satu gol.

Bukan sahaja kecewa dengan kekalahan tersebut, malah pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad mengalami kecederaan ketika ingin merebut bola dari salah seorang pemain Oman sehingga menyebabkan kaki kirinya terseliuh dan terpaksa diusung keluar seawal minit ke-25.

BACA LAGI: [VIDEO] Kepala berbalut hingga risiko ACL, 3 pemain JDT jadi 'korban' kekalahan Harimau Malaya

WhatsApp Image 2024-03-27 at 08.33.58

Skuad Harimau Malaya yang diketuai oleh Dion Cools terpaksa akur tewas di tangan Oman dua kali berturut-turut. — Facebook/FAM

BACA LAGI: JDT terlepas 3 sepakan penalti, Farizal Marlias tambah kedukaan ekor Harimau Selatan

Melihat reaksi di media sosial, ramai penyokong meluahkan kebimbangan jika Azam Azmi berisiko terkena anterior cruciate ligament (ACL) dengan ada juga yang menyalahkan keadaan padang menjadi punca kecederaan.

Bukan sahaja menjadi punca kecederaan kepada pemain malah ramai penyokong beranggapan bahawa padang di SNBJ itu juga merupakan faktor utama Harimau Malaya tewas di laman sendiri.

Susulan kekalahan tersebut, Ekor Harimau Malaya menerusi hantaran di Facebook, Penyokong Sukan Johor - PSJ menyuarakan pandangan mereka mengenai kualiti gelanggang keramat Harimau Malaya kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

"Apa perasaan pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia apabila melihat keadaan seperti ini?

"Keadaan padang yang telah membunuh rentak perlawanan malam ini, apa lagi nak dikatakan.

"Harimau Malaya janggal dan tempang di gelanggang sendiri. Adakah standard padang ini yang pihak SNBJ sediakan untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia ? Ianya sangat memalukan," tulisnya di Facebook.

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan-gon kehilangan tiga mata untuk kekal berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata selepas empat aksi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram