Tak tertarik kebangkitan KDN, kesetiaan ultras Kelantan kekal buat TRW


  • Podium
  • Selasa, 26 Mac 2024

Gate H Boys tidak pernah berhenti memberi sokongan buat skuad TRW yang berdepan kemelut musim lalu. — Facebook/TRW Kelantan FC

KEGAGALAN memperolehi lesen kebangsaan akibat isu pengurusan menyaksikan Kelantan FC 'terkubur' daripada saingan Liga Super musim depan.

Mereka yang berada di kedudukan tercorot dalam saingan lalu difahamkan terpaksa beraksi dalam Liga M3 dengan hal terbabit juga masih belum diputuskan.

Situasi terkini kelab Pantai Timur berkenaan pasti merobek hati penyokong yang meletakkan harapan cukup tinggi untuk menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) kembali ke zaman kemegahan mereka.

Tetapi, kekecewaan itu sedikit diubati apabila sebuah lagi kelab dari negeri terbabit semakin menunjukkan sinar harapan berbanding tahun lalu.

Kelantan Darul Naim atau lebih dikenali sebagai KDN FC yang baru sahaja mengadakan penstrukturan semula membawa khabar gembira sepanjang jendela perpindahan kali ini.

BACA LAGI: Lepas sebulan berteka-teki, nasib Kelantan FC dalam Liga Super akhirnya terjawab

2495492

Skuad TRW tidak akan beraksi dalam Liga Super 2024/25 akibat isu pengurusan. Facebook/TRW Kelantan FC

Mereka yang dahulunya dikenali sebagai Kelantan United pasti mahu menamatkan saingan Liga Super di kedudukan lebih baik apabila hanya berada di tangga ke-13 sebelum ini.

Kemasukan bekas pemain skuad TRW seperti Fazrul Amir Zaman dan Syed Sobri menjadi isyarat bahawa mereka akan bersaing lebih hebat berbanding musim sebelumnya.

Malah, kesungguhan dipamerkan itu mula disedari penyokong bola sepak Kelantan yang semakin berkobar-kobar untuk memberi sokongan tidak putus buat skuad Kijang Emas.

Bagaimanapun, perasaan tersebut tidak dikongsikan kumpulan ultras Gate H Boys yang cukup dikenali sebagai peminat tegar Kelantan FC sejak penubuhannya pada 2010.

"Kami lebih rela sokongan kami terkubur bersama skuad TRW berbanding terpaksa menyokong kelab lain. Ikut andalah kalau nak sokong KDN sekali pun.

BACA LAGI: Ramai sokong keputusan MFL tolak rayuan Kelantan FC ke Liga Super 2024/25

432450470_851201173686205_7122328851371472477_n

Skuad Kijang Emas sudah memulakan latihan menjelang saingan musim depan. Facebook/KDN FC

"Kami hanya menyatakan pendirian kami, kenapa anda yang lain pula berasa tidak puas hati? Kalau anda nak sokong pasukan lain, ikut awaklah. Awak tidak boleh paksa kalau kami tak sanggup," katanya.

Gate H Boys ditubuhkan ketika Kelantan FA berada di kemuncak bola sepak tanah air dengan mereka ketika itu merupakan antara pasukan paling digeruni.

Kumpulan ultras berkenaan merupakan antara yang lantang bersuara mengenai isu skuad TRW musim lalu, namun masih sanggup turun dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

Bagaimanapun, keadaan semasa kelab menyaksikan ahli mereka kian berkurangan dengan ada daripada mereka mula memilih untuk menyokong KDN FC.

Sebelum ini, Presiden KDN FC, Rozi Muhammad menyuarakan keinginannya untuk bertemu Gate H Boys untuk membincangkan idea mewujudkan persefahaman mengenai bola sepak Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram