LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Isnin mengumumkan bahawa pasukan tercorot Liga Super 2023, Kelantan FC tidak akan beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tanah air musim depan.
Keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat First Instance Body (FIB) memutuskan untuk tidak menghalang kelab Pantai Timur itu daripada memperolehi lesen kebangsaan.
Meskipun sudah diberikan tarikh lanjutan, kegagalan pasukan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji menyaksikan MFL terpaksa mengambil langkah berkenaan.
"Pada 1 November 2023, pihak FIB bersetuju memberikan lanjutan masa untuk Kelantan FC menyelesaikan Langkah Pertama bagi sub-kriteria F.04 sehingga 15 November 2023 untuk menyelesaikan kesemua tunggakan gaji semasa sehingga Ogos 2023.
"Manakala Langkah Kedua bagi sub-kriteria F.11 bagi penyelesaian (5) lima kes FIFA yang ada keputusan sehingga 31 Ogos 2023 perlu diselesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023," tulisnya.

MFL mengeluarkan kenyataan mengenai kegagalan Kelantan FC mendapatkan lesen kebangsaan musim depan.
Selain itu, badan penganjur bola sepak negara tersebut mengesahkan bahawa mereka sudah menghubungi pihak lain untuk memastikan tunggakan sudah diselesaikan.
"Pihak FIB juga telah melakukan semakan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan bahawa pembayaran gaji telah dilakukan oleh pihak Kelantan FC.
"Namun begitu, setelah semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji bulan Ogos 2023 atas beberapa sebab," katanya lagi.
Keputusan itu menyaksikan Kelantan FC berdepan kemungkinan terpaksa beraksi dalam Liga M3 musim depan, sekali gus menyaksikan hanya 13 pasukan layak beraksi di pentas Liga Super 2024/25.
Kegagalan Kelantan FC untuk mendapatkan lesen kebangsaan menyaksikan penyokong meluahkan kekecewaan masing-masing di media sosial meskipun ada dalam kalangan mereka setuju dengan keputusan MFL itu.
Baca Lagi: MFL sah terima, semak dokumen Kelantan FC untuk lesen kebangsaan
"Jika ini yang terbaik, maka biarkan Kelantan bermula dari bawah semula. Lepaskan kepada mereka yang lebih layak dan lebih pandai menjaga. Kelantan bukan sekadar pasukan, ia merupakan kebanggaan!" ciap Berita Bola Kelantan.
"Saya sebagai penyokong Kelantan bersetuju sekiranya pasukan di turunkan liga kerana pemilik pasukan tidak mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh. Biarlah pasukan miliknya berkubur dengan sendirinya," kata Mohd Arif.
"Ini yang kita mahukan, biarlah Kelantan FC bermula dari Liga M3. Belajar dari bawah cara terbaik untuk uruskan dengan betul dan ikhlas. Itu sahaja dari kami penyokong skuad The Red Warriors (TRW) mahukan," ujar Nik Mohammad Hafiz.
Skuad TRW sebelum ini dilaporkan berdepan masalah tunggakan gaji sejak pertengahan musim apabila pemain dan staf kejurulatihan memilih untuk meninggalkan pasukan terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
