'Kami berlembut? Tidaklah', Ab Ghani jawab dakwaan MFL beri muka kepada Kedah dan KL City


  • Podium
  • Khamis, 21 Mac 2024

KDA FC dan Kuala Lumpur City diberikan peluang beraksi dalam Liga Super. — Facebook/KDAFC

PENGELOLA liga domestik, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan tuduhan bahawa badan berkenaan terlalu ‘memanjakan’ Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC berhubung isu tunggakan gaji.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan bahawa mereka tidak pernah berlembut dengan dua pasukan Liga Super itu dan sebaliknya setiap tindakan yang dilakukan adalah sesuai dengan keadaan semasa Kedah serta KL City.

Bagi Ab Ghani, sekiranya MFL berlembut dengan Kedah dan skuad Warga Kota seperti yang dikatakan penyokong, kelab lain seperti Sarawak United dan Kelantan FC mungkin sudah menerima layanan sama seperti dua kelab berkenaan.

“Tidaklah...kami hanya ikut apa yang kami (MFL) perhatikan. Kadang-kadang kita memerhati daripada khabar angin tapi apabila kita suruh hantar dokumentasi, baru nampak. Dari situ boleh buat langkah-langkah seterusnya untuk Kedah dan KL City seperti kita keluarkan kenyataan,

“MFL tak pernah berlembut... buktinya banyak pasukan dah keluar seperti Sarawak, Kelantan. Penyingkiran mereka untuk memastikan liga ini kompetitif dan dihormati.

“Malah, seperti kenyataan Datuk Hamidin (Hamidin Mohd Amin) yang FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sedang memerhati liga kita dengan masalah gaji yang berlaku. Oleh itu, MFL akan ambil langkah tertentu untuk memastikan liga kita tak berlaku lebih teruk,” katanya kepada media pada Rabu.

Ab Ghani ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa MFL bersama media di Hotel Dorsett Grand Subang, Subang Jaya, Selangor. Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam dan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

BACA LAGI: Kedah, KL City terselamat tapi Perlis United kempunan ke Liga Super

WhatsApp Image 2024-03-21 at 04.47.05

Kelantan dilaporkan ingin beraksi di saingan Liga M3. — Facebook/TRW

Mengulas lanjut, Ab Ghani berkata, antara langkah yang akan dilakukan oleh pihak MFL terhadap kelab-kelab yang bersaing di Liga Super musim ini adalah dengan melakukan pemeriksaan kewangan setiap bulan bagi memastikan masalah gaji tidak akan berulang dan bertambah teruk.

Pada masa sama, beliau juga optimis bahawa skuad Hijau Kuning dan KL City tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi oleh badan bebas First Instance Body (FIB) iaitu menambah tempoh untuk menyelesaikan masalah gaji sehingga akhir Mac ini.

BACA LAGI: DNA Terengganu makin dapat perhatian, fans Croatia bangunkan laman khas demi Sang Penyu

WhatsApp Image 2024-03-21 at 04.47.06-2

Ab Ghani percaya Kedah dan KL City akan menyelesaikan masalah dalaman mereka sebelum tarikh ditetapkan. — Facebook/MFL

“Berkenaan kedah dengan KL City, MFL berkeyakinan bahawa masalah mereka akan diselesaikan. Sebab itu kami nyatakan kenapa mereka diberi masa sehingga hujung bulan ini untuk menyelesaikan masalah kewangan.

“Kami dah nampak dokumen dan komitmen dari presiden Kedah dah nampak mereka akan selesaikan masalah berkenaan. Insya-ALLAH mereka akan selesaikan sehingga hujung bulan ini,” jelasnya.

FIB menjelaskan kedua-dua pasukan itu memberikan komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah gaji tersebut walaupun gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan bagi tahun 2023 selepas tarikh pertama 15 Mac lalu.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kedua-dua kelab itu akan dikenakan pemotongan mata dan denda sekiranya gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac ini.

“Sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac 2024, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda sebanyak RM 50,000 akan dikenakan," tulis kenyataan yang dikeluarkan MFL pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram