CABARAN besar terpaksa dihadapi Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas tewas di tangan Oman di tempat lawan pada Jumaat.
Kekalahan 0-2 yang dialami itu meletakkan skuad kebangsaan di tangga ketiga dengan masih terdapat tiga perlawanan perlu ditempuhi.
Melihat kepada carta, mereka kini terikat dengan dua pasukan lain, iaitu Oman dan Kyrgyzstan dengan masing-masing sudah mengumpul enam mata.
Walaupun peluang masih cerah buat skuad kebangsaan, setiap mata boleh dianggap berharga sekiranya mahu layak ke Piala Asia, apatah lagi ke Piala Dunia.
BACA LAGI: Skuad B-23 mudah tundukkan India bukti Arif Aiman boleh fokus perkuat Harimau Malaya
Pan-gon perlu segera mencari penyelesaian segera untuk memperbaiki skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Jadi, dalam misi meraih sebanyak mata yang mungkin, skuad kendalian Kim Pan-gon itu perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri pada Selasa ini.
Mereka yang dijadualkan bertemu Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) perlu meraih tiga mata penuh untuk kembali berada dalam kelompok dua pasukan teratas.
Tetapi, melihat kepada perlawanan lalu, pelbagai perkara perlu ditambah baik untuk menundukkan pasukan di tangga ke-80 dunia.
Perubahan dari segi pemilihan pemain serta taktikal pasukan merupakan antara pendekatan boleh diambil Pan-gon memandangkan kecergasan masing-masing sukar diubah kerana kekurangan aksi kompetitif.
Jadi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga rombakan boleh dibuat berdasarkan aksi sebelum ini dalam misi 'membalas dendam' terhadap Oman.
1. Gugurkan Romel Morales
Kritikan bertali-arus diberikan terhadap penyerang naturalisasi, Romel Morales yang jarang memberi tekanan akan pemain lawan sepanjang berada di atas padang.
Kekurangan elemen itu menyaksikan Oman mudah membina serangan daripada barisan serangan yang kemudiannya sukar dihentikan sebelum mudah mereka membolosi gawang Harimau Malaya.
Jadi, sekiranya Pan-gon mahu mengubah gaya permainan pasukan, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut sepatutnya digugurkan untuk aksi akan datang.
BACA LAGI: 'Mana ada ofsaid?', keputusan kontroversi buat Harimau Malaya kempunan di Oman
Persembahan Romel ketika berdepan Oman sekali lagi dikritik ramai. — Facebook/FAM
Pengganti terbaik pastinya Darren Lok yang sudah beberapa tahun kebelakangan ini memikul tanggungjawab sebagai penyerang utama skuad kebangsaan.
Selain itu, Paulo Josue yang pernah beraksi di posisi 'false 9' juga merupakan calon ideal dengan dia dikenali dengan ketangkasan dalam memberi tekanan terhadap lawan.
Tetapi, sesiapa sekali pun penggantinya, Romel perlu digugurkan sekiranya Pan-gon mahu seseorang lebih baik dalam mengganggu pertahanan lawan.
2. Ganti Brendan Gan dengan Syamer Kutty
Dalam aksi menentang Oman pada Jumaat lalu, Harimau Malaya dibarisi Brendan Gan dan Stuart Wilkin di bahagian tengah dengan gandingan itu pernah membuahkan hasil sebelum ini.
Namun, kesan daripada keberadaan kedua-dua mereka dalam kesebelasan utama menyaksikan skuad kebangsaan berdepan isu kreativiti dalam merencana serangan.
Masalah itu berubah pada babak kedua apabila Pan-gon memasukkan Endrick dos Santos dengan pemain JDT berkenaan beberapa kali mencipta peluang.
Syamer mampu membawa perubahan baik dari segi serangan mahupun pertahanan. — Facebook/FAM
Jadi, perubahan perlu dibuat terhadap kesebelasan utama Harimau Malaya sekiranya mereka mahu menundukkan pasukan dari Timur Tengah terbabit.
Antara langkah terbaik adalah dengan menggugurkan Brendan Gan yang lebih berusia dan memasukkan Syamer Kutty Abba dalam perlawanan akan datang.
Syamer yang lebih pantas dan berkemampuan menghidu ancaman merupakan pilihan lebih baik buat Pan-gon dalam menutup serangan daripada Oman.
Tetapi, dengan pemain yang dikenali sebagai 'Black Mamba' itu beberapa kali mengalami isu kecederaan, terdapat kemungkinan Brendan Gan akan dikekalkan.
3. Kurangkan rasa tekanan pemain
Tidak boleh dinafikan bahawa isu utama di sebalik kekalahan Harimau Malaya di bumi Oman berpunca daripada rasa gugup masing-masing.
Ia menyebabkan mereka berkali-kali melakukan kesilapan hantaran mahupun posisi yang membuka pintu buat pihak lawan melancarkan serangan.
Persiapan lebih baik perlu direncanakan untuk Harimau Malaya selepas ini. — Facebook/FAM
Jadi, penyelesaian terbaik perlu dicari Pan-gon menjelang aksi keempat peringkat kumpulan sekiranya mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong.
Perkara itu bagaimanapun bukanlah satu hal yang mudah memandangkan pemain negara masih tidak mempunyai perlawanan kompetitif dalam liga setakat ini.
Tetapi, melihat kepada pengalaman serta ilmu dimiliki Pan-gon, penyelesaian pasti dapat dicari untuk menghadiahkan mata penting buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram