HARIMAU Malaya Bawah 23 tahun (B-23) negara berhasil menewaskan India B-23 dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan persahabatan tertutup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kemenangan dalam aksi pemanas badan berkenaan diraih menerusi jaringan gol dari T.Saravanan pada minit ke-33 dan 15 minit kemudian, Muhammad Alif Zikri Zaini Anuar menggandakan jaringan buat Harimau Malaya B-23.
Manakala, pasukan B-23 India pula membawa pulang gol saguhati menerusi jaringan dari pemain pertahanan, Chingangbam Shivaldo Singh pada minit ke-77 perlawanan.
Keputusan positif diraih pasukan kendalian Juan Torres Garrido itu sedikit sebanyak memberi bayangan skuad kebangsaan B-23 sudah bersedia untuk menghadapi kempen Piala Asia B-23 yang dijadual berlangsung pada 15 April hingga 3 Mei nanti.
Selain otu, perlawanan persahabatan pertama sebelum kempen Piala Asia B-23 di Qatar itu juga membuka mata penyokong untuk melihat bakat pemain muda lain seperti Alif Zikri yang semakin menarik perhatian peminat Perak FC.
BACA LAGI: Skuad B-23 mudah tundukkan India bukti Arif Aiman boleh fokus perkuat Harimau Malaya
Alif Zikri mencetak jaringan buat Harimau Malaya B-23 pada minit ke-48. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Arif Aiman bersaing dengan bintang PSG, wonderkid Jepun rebut gelaran Future Stars Asia
Penyokong The Bos Gaurus (TBG) berharap agar pengendali kelab, Yusri Che Lah akan memberi kepercayaan buat Alif Zikri menjadi kesebelasan utama pasukan bagi membantu dia mendapat pendedahan beraksi bersama skuad senior.
"Ubi Perak FC yang sedang meningkat naik, Alif Zikri meledak satu gol bagi membantu pasukan Malaysia B-23 menewaskan pasukan India B-23. Pendapat admin, Alif Zikri ni perlu diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemain utama pasukan Perak FC musim ini.
"Walaupun perlu bersaing dengan pemain-pemain yang lebih senior dan berpengalaman. Fizikal yang mantap dan pengalaman bermain di pentas antarabangsa sudah pasti sedikit sebanyak akan membantu Alif Zikri," cadang laman penyokong Perak, Silverian Syndicate.
Untuk rekod, penyerang berusia 21 tahun itu mendapat peluang beraksi dalam 12 perlawanan Liga Super dengan dia juga membantu mencetak satu gol dan satu hantaran bantuan buat Perak pada musim lepas.
Dengan pengalaman beraksi dengan skuad B-23 negara serta Perak FC pada musim lepas, kemahiran Alif Zikri dijangka sudah bertambah baik untuk beraksi sebagai penyerang tempatan skuad Seladang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram