[VIDEO] Dron 'liar' kantoikan situasi semasa padang SNBJ, Hans Isaac beri jawapan senada Menteri KBS


  • Podium
  • Jumaat, 22 Mac 2024

Tangkap layar memaparkan keadaan sebenar Stadium Nasional Bukit Jalil setakat ini.

MENJELANG aksi timbal balik Malaysia berdepan Oman dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti, keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur didakwa masih dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Ia selepas gelanggang keramat Harimau Malaya itu dijadikan venue konsert jelajah penyanyi terkenal Britain, Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.

Penyokong bola sepak tanah air sebelum ini sudah awal melontarkan kebimbangan mereka mengenai keadaan padang terutama selepas pentas konsert itu dibina di tengah-tengah kawasan padang SNBJ.

Susulan itu, padang SNBJ sekali lagi kembali menjadi buah mulut penyokong selepas tular di laman X mengenai keadaan sebenar venue berkenaan.

BACA LAGI: Sang Kenari umum senjata baharu, fans pula luah kerisauan

BACA LAGI: Zainal Abidin petik 2 pencabar JDT, enggan nilai kualiti import baharu Harimau Selatan terlalu awal

Difahamkan, gambar keadaan sebenar padang SNBJ itu diperoleh selepas seorang pengguna YouTube, mingway menerbangkan dron berkameranya di stadium tersebut dalam satu video dimuat naik pada 12 Mac 2024.

Jika melihat kepada tarikh rakaman itu diambil pada 12 Mac, bermakna keadaan sebenar SNBJ masih belum di tahap yang memuaskan kerana hanya berbaki 15 hari sahaja lagi sebelum aksi Malaysia menentang Oman.

Dalam pada itu, pastinya perlawanan antara Harimau Malaya dan Oman pada Selasa akan terkesan dengan persekitaran padang tersebut.

Bagaimanapun, belum dipastikan jika video berkenaan membuktikan keadaan semasa gelanggang keramat Harimau Malaya itu.

Sebelum ini, isu sama pernah berlaku dalam aksi final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC.

Keadaan padang ketika itu rosak dan terdapat bahagian rumput yang tercabut selepas konsert kumpulan antarabangsa, Coldplay berakhir.

Terdahulu, dalam perlawanan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Harimau Malaya tewas 0-2 sekali gus meletakkan skuad kendalian Kim Pan-gon di tangga ketiga Kumpulan D.

Kedua-dua pasukan bakal bertembung di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL pada 26 Mac dengan mata penuh perlu diraih skuad kebangsaan dalam misi melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia 2027.

Majoriti berjaya mendapatkan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac untuk memberi komen berhubung isu berbangkit.

Bagaimanapun, Hans Isaac enggan memanjangkan dan mengulas lebih lanjut mengenai isu berkenaan namun senada dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berpendapat bahawa keadaan padang harus dinilai pada hari perlawanan.

Terdahulu, Hannah dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata, gambar keadaan padang SNBJ yang tular di media sosial ketika ini bukanlah gambar terkini.

"Yang itu adalah gambar bukan semalam ataupun gambar pada hari ini, kita kena tunggu pada hari perlawanan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram