Diskriminasi terbaru Perancis singkirkan Diawara kerana berkeras mahu berpuasa


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Diallo kini sudah kembali ke pangkuan kelabnya setelah menarik diri daripada kem pasukan muda Perancis Khamis lalu. — Agensi

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.

TIDAK cukup dengan melarang pemberhentian permainan untuk meluangkan masa pemain beragama Islam berbuka puasa dalam liganya, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengundang kontroversi terbaru apabila melarang pemain daripada menjalani Rukun Islam ketiga itu ketika terbabit dalam tugasan antarabangsa.

Gara-gara penguatkuasaan peraturan itu, seorang pemain skuad bawah 19 tahunnya, Mahamadou Diawara, bertindak balas dengan merelakan dirinya disisihkan daripada skuad remaja kebangsaan itu pada Khamis.

Minggu lalu, Diawara, pemain tengah berketinggian 1.87m, dipanggil ketua jurulatih, Bernard Diomede, untuk menyertai Jelajah Elit B-19 Euro tapi nampaknya peluang pemilihannya sudah berakhir selepas FFF menamakan pemain Nantes, Dehmaine Tabibou Assoumani, sebagai pengganti.

Apa yang harus diperhatikan ialah Diawara adalah antara pemain tonggak barisan remaja negara itu yang menyasarkan untuk layak ke Kejohanan Euro B-19 pada musim panas ini. Pemain itu, bagaimanapun, telah meninggalkan pasukan sebelum kemenangan 2-0 ke atas Belgium, Rabu lalu.

BACA LAGI: Terdesak atau keperluan? Kehadiran Sony Norde bentuk gandingan 'double S'

WhatsApp Image 2024-03-23 at 08.12.22

Diawara mengambil pendirian tegas untuk berdepan diskriminasi yang dialami pemain Muslim. Agensi

Pemain Muslim yang mahu berpuasa Ramadan – bermula pada 10-11 Mac di Perancis hingga 10 April – tidak dibenarkan berpuasa sepanjang berada di pusat latihan Clairefontaine dan diminta menggantikan puasa mereka kemudian.

Setiap seorang daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan Perancis – daripada pengendali skuad B-16, Lionel Rouxel, hinggalah kepada bos skuad utama, Didier Deschamps, telah memaklumkan larangan berpuasa itu kepada pemain masing-masing pada permulaan tempoh rehat antarabangsa kali ini.

Ini adalah larangan berpuasa lebih menyeluruh yang dikuatkuasakan FFF di peringkat antarabangsa walaupun ia bukan kali pertama. Tahun lalu, ia melaksanakan peraturan melarang pemberhentian perlawanan untuk pemain Muslim berbuka puasa.

Sewaktu larangan berpuasa ketika dalam kem Latihan kebangsaan dilaksanakan secara kurang ketat tahun lalu, pasukan-pasukan remaja Perancis dilaporkan mengugut untuk melancarkan mogok. Salah seorang yang terbabit dalam protes itu, Amine Gouiri, memilih untuk menyisihkan skuad Perancis dan sebaliknya mewakili Maghribi di peringkat antarabangsa.

FFF memperkenalkan apa yang ia gelar satu rangka kerja am yang terpakai kepada semua peringkat pasukan kebangsaannya – daripada skuad bawah 16 tahun hinggalah kepada pasukan senior utama – dengan arahan supaya sesi latihan, sajian makanan dan perlawanan tidak diolah untuk memenuhi tuntutan Ramadan.

BACA LAGI: Bekas bintang Harimau Malaya antara pemain terlibat 'game' FIFA

didier-deschamps-photo-sipa-john-spencer-1679950675

Deschamps turut mengambil pendekatan tidak adil terhadap anak-anak buahnya. Agensi

Malah, pemain Muslim yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan telah diminta untuk menjadualkan semula hari mereka berpuasa kepada selepas tempoh rehat antarabangsa.

FFF mempertahankan bahawa keputusannya itu adalah selari dengan konsep Perancis yang dipanggil "laicite" – prinsip sekularisme berpelembagaan di negara itu yang lazimnya ditafsirkan sebagai pemisahan di antara masyarakat sivil dan masyarakat agama.

Seorang jurucakap organisasi itu mendakwa peraturan baru itu secara amnya diterima baik, dengan berkata: “Secara keseluruhannya kecuali satu atau dua momen yang menimbulkan ketegangan, kami tidak menghadapi pertelingkahan.”

Namun, seorang ejen yang mewakili sebilangan pemain dalam kerangka skuad kebangsaan Perancis dipetik ESPN sebagai berkata peraturan itu sebenarnya tidak diterima baik.

Diawara, yang dilaporkan menyuarakan rasa kurang senangnya terhadap larangan pemain Muslim berpuasa, disahkan sudah kembali ke kelabnya, Lyon.

ffbc1a9b8e376da3

Diallo bertegas akan pendirian FFF mengenai larangan terhadap pemain Muslim untuk menjalani ibadah berpuasa. Agensi

“Sebilangan pemain langsung tidak gembira dengan keputusan ini,” kata ejen itu. “Mereka berasa agama Islam tidak dihormati, begitu juga mereka sebagai pengamalnya. Sesetengah mereka enggan menimbulkan kekecohan. Tapi Mahamadou tidak gembira dengannya, jadi dia tinggalkan pasukan.”

Di sebalik larangan kontroversi itu, Presiden FFF, Philippe Diallo, mempertahankan keputusan itu dalam satu temu bual dengan Le Figaro pada Rabu.

“Saya mahu tegaskan bahawa ia adalah dalam ruang lingkup neutral supaya pilihan kami dapat berfungsi dengan konkrit. Kami tidak akan meminda situasi untuk pemilihan hanya atas sebab-sebab keagamaan,” katanya.

Peraturan asas FFF, tambah Diallo, termasuk prinsip berkecuali di samping mengamalkan prosedur yang memastikan 'agama tidak ikut campur dalam urusan seorang atlet'.

Mengikut peraturan baharu itu, pemain yang dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Perancis, selain tidak dibenarkan berpuasa ketika latihan sepanjang Ramadan, hendaklah juga mematuhi 'rentak' pasukan dan sebarang aktivitinya.

Keputusan melarang pemain Muslim menjalani ibadah puasa ketika dipanggil untuk tugasan antarabangsa menyusuli larangan kontroversi lain di Perancis, termasuk larangan memakai burqa di khalayak sejak 2010 dan larangan kanak-kanak memakai abaya di sekolah kerajaan tahun lalu. Keputusan berkenaan diperakui oleh kerajaan Perancis di bawah prinsip sekularnya.

imago0035534380h

Pogba (kiri) dan Kante merupakan dua pemain Muslim yang banyak menyumbang kepada bola sepak Perancis. Agensi

Laman Islamicity – sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan di Culver City, California, Amerika Syarikat – merumuskan kontroversi daripada keputusan FFF dengan pendirian Islamofobia itu mendapat cemuhan pemain dan pengulas bola sepak kerana melanggar hak kebebasan beragama selain menggalakkan budaya pengasingan dan peminggiran dalam bola sepak Perancis.

Pengkritik pula mencerca FFF kerana tidak menghormati tuntutan agama pemain Muslim, termasuk ikon seperti Paul Pogba, Ibrahima Konate and N'Golo Kante, yang telah banyak menyumbang kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap kegemilangan bola sepak negara itu.

Pendirian agresif FFF itu juga berlawanan dengan liga lain di Eropah, terutama Liga Perdana Inggeris (EPL), yang telah menyerlahkan komitmen untuk menjadi inklusif dengan memberi kelonggaran kepada pemain berbuka puasa ketika perlawanan dalam bulan Ramadan – mendedahkan kegagalan Perancis untuk menegakkan prinsip asas untuk hormat dan menghargai kepelbagaian.

“Adalah penting untuk FFF dan persatuan sukan Perancis yang lain mengambil langkah segera untuk membetulkan dasar diskriminasinya dan menggalakkan amalan inklusif dan kepelbagaian dalam bola sepak. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja merendahkan integriti sukan itu tapi juga menyuburkan lagi stereotaip memudaratkan,” kata Islamicity lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram