HARAPAN skuad kebangsaan membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata daripada aksi ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 tidak kesampaian apabila tewas kepada Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada Jumaat.
Kekalahan 0-2 yang dialami Harimau Malaya boleh dikatakan berpunca akibat gaya permainan mengecewakan dengan anak-anak buah Kim Pan-gon kerap mensia-siakan peluang.
Bagaimanapun, tercetus kontroversi memasuki minit ke-80 permainan apabila pengadil membatalkan gol negara selepas pemain gantian, Paulo Josue dikatakan berada di kedudukan ofsaid.
Selepas menerima hantaran lolos daripada Endrick dos Santos, kapten Kuala Lumpur (KL) City FC itu mudah melorongkan bola mengatasi penjaga gol lawan, Ibrahim al-Mukhaini yang menjadikan kedudukan 1-1.
BACA LAGI: Mula keluar zon selesa, pakar saran Harimau Malaya cipta budaya 'winning habit'
Pan-gon pasti perlu mencari cara untuk membolehkan pasukan negara bangkit selepas ini. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Harimau Malaya diharap tak buat kesilapan mudah, bolos gol awal
Jaringan itu kemudiannya dibatalkan apabila penjaga garisan mengatakan Paulo Josue berada di kedudukan ofsaid, namun kisah sebaliknya dirasakan penyokong Harimau Malaya.
Ini kerana ulang tayang menyaksikan bola terkena pemain Oman, sekali gus menjadikan keputusan pengadil tidak tepat dan membuatkan skuad kebangsaan terus berada di belakang.
Gerakan demi gerakan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-88, Muhsen al-Ghassani menjaringkan gol kedua buat mereka.
Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian Kim Pan-gon di tangga ketiga Kumpulan D selepas tiga perlawanan dengan hanya perbezaan jaringan memisahkan tiga pasukan teratas.
Kedua-dua pasukan bakal bertembung di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL pada 26 Mac dengan mata penuh perlu diraih skuad kebangsaan dalam misi melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia 2027. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram