Terdesak atau keperluan? Kehadiran Sony Norde bentuk gandingan 'double S'


  • Podium
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Kehadiran Norde dijangka menambah kreativiti di bahagian serangan Sang Kenari. — Facebook/TFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengumumkan pemain tengah menyerang, Sony Norde sebagai senjata berbahaya baharu Sang Kenari bagi menghadapi musim 2024/25.

Perpindahan penyerang kelahiran Haiti itu diumumkan pengurusan Sang Kenari menerusi satu hantaran di media sosial rasmi Facebook, Kedah Darul Aman FC.

Pastinya kehadiran Sony Norde ke kem Sang Kenari adalah bagi menguatkan jentera tengah dan serangan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Meskipun ketika ini pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu mengalami masalah kewangan, namun ia tidak menghalang mereka daripada mengikat pemain berusia 34 tahun itu.

Dalam pada itu, berikut Majoriti menyenaraikan antara sebab mengapa KDA FC mengambil keputusan sedemikian.

Sonyy Norde

Sony Norde sah menyarung jersi Hijau Kuning bagi menghadapi saingan Liga musim 2024. — Facebook/TFC

1) Hanya penuhi kouta import

Seperti yang diketahui sebelum ini, KDA FC sudah pun melepaskan kesemua import mereka menjelang musim 2024.

Ia susulan selepas kelab berkenaan didakwa mengalami masalah kewangan yang menyebabkan isu tunggakan gaji berlaku dalam kem Sang Kenari.

Langkah terbaik yang diambil ketika itu adalah melepaskan kesemua import dan mula berbelanja secara berhemat.

Bagaimanapun, pada Jumaat, kem Sang Kenari telahpun mengumumkan senjata baharu iaitu Sony Norde.

Kehadiran Sony Norde ke kelab berkenaan dijangka akan membantu bahagian serangan dan tengah.

Pastinya, kemunculan Sony hanyalah sekadar untuk memenuhi kuota import.

2) Terdesak mencari penyerang

Bukan sahaja mahu memenuhi kuota import, kehadiran Sony ke kem Sang Kenari dianggap terdesak berikutan tiada penyerang dalam skuad berkenaan.

Dalam pada itu, kehadiran Sony ke skuad itu dijangka berpeluang membantu mengukuhkan skuad kendalian Nafuzi Zain.

Ketika beraksi bersama Terengganu FC, Sony sudah membuktikan prestasinya apabila meledak tiga gol di pentas Asia.

Ia sekali gus memberi harapan kepada Sang Kenari untuk menghuni kedudukan terbaik Liga Super musim depan.

Meskipun kehadiran Sony Norde dianggap terdesak oleh segelintir individu, ada juga yang beranggapan pemain itu sebagai satu keperluan buat Sang Kenari terbang tinggi musim ini.

1) Pengalaman dalam Liga M

Sony Norde sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan Melaka United FC pada musim 2020 sebelum berhijrah ke Sang Penyu.

Sony yang baru tiba dari kelab kelab Azerbaijan, Zira FK itu berjaya menambat hati pengendali Melaka United ketika itu, Zainal Abidin Hassan.

Sudah tentu, pengalamannya dalam kancah bola sepak tanah air sebelum ini bukanlah masalah utama untuk menyesuaikan diri dengan pemain tempatan mahupun pihak pengurusan.

2) Gandingan Syafik Ahmad bentuk jelmaan 'double S'

Kehadiran pemain berketinggian 1.76 meter itu dijangka berpotensi untuk membentuk gandingan bersama penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad.

Syafiq Ahmad yang baru tiba dari kelab JDT sebagai pemain pinjaman dijangka bakal bergandingan dengan Sony.

Dalam pada itu, Sang kenari dijangka akan mempunyai gandingan hebat musim depan dengan membentuk jelmaaan 'double S'.

Ketika beraksi bersama KDA FC sebelum ini, Syafiq pernah menyerlah apabila digandingkan bersama import Cameroon, Wanja Ronald Ngah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram