Keputusan FFF amat mengecewakan, jadikan pemain berpuasa sebagai mangsa. Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.
“SEBUTIR tamar dan segelas air jadi igauan besar buat FFF (Persekutuan Bolasepak Perancis).” Itulah yang tertulis pada kain rentang Collectif Ultras Paris, sekumpulan penyokong kelab Paris Saint-Germain (PSG) sebagai mengkritik keputusan persekutuan itu yang tidak membenarkan perlawanan dihentikan seketika untuk pemain beragama Islam berbuka puasa ketika Ramadan tahun lalu.
Adakah FFF belajar apa-apa daripadanya? Tentunya tidak kerana pada 14 Mac lalu, persekutuan itu mencetuskan kontroversi dengan mengulangi keputusan serupa sempena Ramadan kali ini.
Organisasi itu sudah mengeluarkan surat rasmi terhadap badan pengadilan supaya tidak memberhentikan aksi kerana tidak mahu perlawanan terganggu ketika pemain mengambil sedikit masa untuk berbuka puasa.
Media Perancis melaporkan, presiden FFF enggan tunduk kepada desakan bagi mengelakkan sebarang provokasi selain memetik Artikel 1.1 perlembagaannya bagi mengelakkan sebarang representasi keagamaan ketika perlawanan.
BACA LAGI: Bukan macam EPL, Perancis tak hentikan aksi bagi peluang pemain berbuka puasa
Penyokong tegas PSG menyelar pendirian FFF yang menghalang pemain Muslim berbuka puasa. — Agensi
Langkah tidak bertimbang rasa itu turut mencetuskan perdebatan terhadap pertimbangan tuntutan keagamaan dalam sukan di samping membangkitkan persoalan kepada perlunya bersifat inklusif dan meraikan kepelbagaian dalam kalangan komuniti bola sepak.
Keputusan itu, yang menawarkan alasan untuk menegakkan peraturan sedia ada, menyaksikan pelbagai pihak, termasuk penyokong, membantah pendirian berkenaan sehingga melabel FFF mengamalkan Islamofobia.
Presiden Suruhanjaya Pengadilan Kebangsaan (CFA), Eric Borghini berkata, keputusan itu bagi mengelak sebarang bentuk provokasi sambil memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja memberhentikan permainan untuk membenarkan pemain berbuka puasa.
Pemain kebangsaan Perancis dan bek Aston Villa, Lucas Digne, yang telah membuat 46 penampilan bersama Les Bleus, adalah yang pertama memberi reaksi kepada larangan itu.
Memuat naik komen dalam akaun X miliknya, Digne menganggap FFF masih tidak berganjak dari zaman silam dengan menulis: '2023' yang diiringi tiga emoji menekup muka.
BACA LAGI: Perancis tetap berdegil, enggan hentikan aksi untuk pemain buka puasa
Digne merupakan antara pemain yang lantang mengkritik FFF atas pendirian mereka. — Agensi
Bintang PSG, Achraf Hakimi, yang mempunyai kontrak dengan kelab ibu kota Perancis itu sehingga 30 Jun 2026, turut terkesan dengan larangan FFF itu.
Ketegangan Islamofobia adalah tinggi di Perancis susulan satu pengumuman melarang daging halal selain larangan perempuan bawah 18 tahun daripada mengenakan hijab. Namun, mengambil kira negara itu memiliki ramai warga Islam dari utara dan barat Afrika, kedegilan FFF itu yang mengamalkan sekularisme rata-rata tidak disenangi.
Musim lalu, pemain pertahanan antarabangsa Algeria berusia 20 tahun di kelab Nantes, Jaouen Hadjam, dikeluarkan daripada senarai pemain oleh ketua jurulatihnya, Antoine Kombouare, kerana tetap berpuasa pada hari perlawanan sepanjang Ramadan.
“Saya jurulatih dan saya yang menetapkan peraturan,” kata jurulatih bersusia 59 tahun itu.
“Pemain-pemain tidak sepatutnya berpuasa untuk mengekalkan kecergasan dalam perlawanan selain untuk mengelakkan daripada mengalami kecederaan,” kata Kombouare yang berbangsa Perancis.
Kombouare menghalang anak-anak buahnya yang beragama Islam untuk berpuasa. — Agensi
“Mereka yang berpuasa tiada tempat dalam pasukan ini,” tambahnya.
Padan muka kerana Nantes yang beraksi tanpa Hadjam mengalami kekalahan 0-3 kepada Reims dalam perlawanan Ligue 1 di laman sendiri di Stade De La Beaujoire pada 2 April 2023 – menjerumuskan mereka di tangga ke-14 dan hanya empat mata di atas zon relegasi.
Malah, pemain beragama Islam dalam skuad kebangsaan Perancis turut dinasihatkan agar tidak berpuasa selama beberapa hari tahun lalu ketika ujian pemilihan dilakukan bersempena dengan Ramadan.
Akhbar harian sukan, L'Equipe, melaporkan pada 23 Mac tahun lalu bahawa pemain beragama Islam diminta supaya tidak berpuasa selama lima hari bagi mengelakkan mereka daripada terjejas dalam kelayakan Euro 2024 menentang Belanda pada 24 Mac dan Ireland tiga hari kemudian.
Ramadan tahun lalu bermula pada 23 Mac sehingga 21 April di Perancis.
Konate masih boleh beraksi di tahap terbaik meskipun menjalani ibadah berpuasa. — Agensi
Pemain tengah Monaco, Youssouf Fofana, dan pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate, dua pemain beragama Islam dalam barisan Les Bleus turut ditampilkan pengurus, Didier Deschamps, yang menyaksikan mereka membelasah Belanda 4-0 di Stade de France selain mengukir kemenangan 1-0 ke atas Ireland di tempat lawan untuk memimpin Kumpulan B ketika itu.
Bola sepak Perancis sebenarnya tidak pernah sunyi daripada kontroversi berkait pemain beragama Islam.
Ketua jurulatih PSG, Christophe Galtier, menghadapi perbicaraan di mahkamah pada Disember tahun lalu atas tuduhan mengamalkan perkauman dan diskriminasi ke atas pemain beragama Islam dan pemain berkulit hitam ketika masih menjadi pengurus Nice pada 2021.
Pengurus PSG itu dituduh memberitahu pengarah bola sepak Nice, Julien Fournier, bahawa terdapat ramai pemain berkulit hitam dalam skuadnya. Selain itu, dia dikatakan cuba mengahalang pemain beragama Islam daripada menjalani ibadah puasa pada Ramadan.
Pada April tahun lalu, media RMC Sport mendedahkan e-mel daripada Fournier yang menuduh Galtier sebagai mengatakan terdapat terlalu ramai pemain berkulit hitam dan pemain beragama Islam dalam skuad Nice di bawah pengawasannya.
Kontroversi Galtier yang mengamalkan sikap perkauman masih belum terpadam. — Agensi
“Dia (Galtier) memberitahu saya bahawa saya patut mengambil kira realiti di bandar raya ini (Nice) dan kita sepatutnya tidak memiliki ramai pemain berkulit hitam dan pemain beragama Islam dalam pasukan.
“Dia memaklumkan yang dia mahu mengubah wajah pasukan Nice dan mengehadkan jumlah maksimum pemain beragama Islam,” kata Fournier.
Dalam satu lagi kes berasingan, lima pemain beragama Islam dalam Ligue 1 dilaporkan enggan turun beraksi dalam perlawanan di antara Toulouse FC and Nantes pada 14 Mei 2023 sebagai membantah satu kempen menentang homophobia.
Menurut laporan sebuah akhbar wilayah di barat daya Perancis, La Depeche du Midi, semua perlawanan Ligue 1 dan Ligue 2 pada hujung minggu berkenaan didedikasikan kepada inisiatif liga menentang homophobia.
Gerakan LGBT terus aktif dalam landskap bola sepak Perancis sehingga hari ini. — Agensi
Pemain Toulouse, Zakaria Aboukhlal, Moussa Diarra, Fares Chaibi dan Said Hamulic serta Mostafa Mohamed di pihak Nantes dikatakan tidak menyokong kempen berkenaan dan enggan turun beraksi.
“Saya tidak mahu bertengkar tapi saya harus menyatakan pendirian saya. Saya menghormati semua perbezaan dan semua kepercayaan. Tapi saya harus utamakan kepercayaan peribadi saya,” kata Mostafa yang enggan memakai jersi warna pelangi yang mewakili pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disyaratkan dalam perlawanan itu.
“Hormat adalah satu nilai yang saya sanjung tapi ia juga merangkumi kerperluan menghormati kepercayaan peribadi saya. Lantaran itu, saya tidak percaya saya adalah individu paling sesuai untuk menyertai kempen ini,” kata pemain kebangsaan Maghribi, Zakaria, menerusi akaun X miliknya.
Perancis dan Islamophobia nampaknya tidak dapat dipisahkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram