Sebelum Diallo menyinar, Mo Kudus lebih dahulu cemerlang ketika berpuasa


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 22 Mac 2024

Pemain gantian, Amad Diallo menjadi wira The Red Devils apabila menjaringkan gol lewat pada penghujung permainan. — Agensi

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.

BUKAN hanya pemain Manchester United, Amad Diallo, yang cemerlang ketika berpuasa kerana tiada kurangnya pemain sayap West Ham, Mohammed Kudus, dalam perlawanan peringkat kedua pusingan 16 Liga Europa UEFA (UEL) di Stadium London pada 15 Mac lalu.

West Ham menterbalikkan defisit 0-1 kepada SC Freiburg dalam perlawanan peringkat pertama pada 7 Mac apabila membelasah kelab Bundesliga itu 5-0 seminggu kemudian untuk menempah tempat dalam suku akhir.

Ia turut membolehkan David Moyes meraikan kemenangan bersejarah dalam perlawanannya yang ke-250 selaku pengurus Hammers.

Lucas Paqueta membuka akaun jaringan buat tuan rumah sebelum Jarrod Bowen menokok gol kedua. Jaringan Aaron Cresswell melebarkan lagi pendahuluan dan selebihnya terserah kepada Mohammed Kudus dengan dua gol, termasuk usaha solo sensasinya, untuk melengkapkan hari gemilang.

Gol pertamanya itu menyerlahkan Kudus mengutip bola dari kawasan West Ham sendiri, kemudian menyelinap di celah-celah pemain lawan sebelum membenam sepakan rendahnya ke penjuru kanan pintu gol lawan pada minit ke-77.

BACA LAGI: Zainal Abidin petik 2 pencabar JDT, enggan nilai kualiti import baharu Harimau Selatan terlalu awal

WhatsApp Image 2024-03-22 at 08.38.56 (1)

Skuad The Red Devils meraih kemenangan berharga apabila berjaya menyingkirkan Liverpool daripada saingan Piala FA menerusi jaringan lewat Diallo (kiri). — Agensi

Pemain antarabangsa Ghana berusia 23 tahun itu seterusnya menyempurnakan sepakan terakhirnya dalam perlawanan itu sebagai menyudahkan satu gerakan lancar tuan rumah dengan rembatan dari penjuru kotak penalti.

“Ia satu gol gemilang dan prestasi hebat daripada Mo Kudus ketika berdepan Freiburg. Saya katakan pada waktu itu bahawa ia adalah larian pemain sayap fesyen lama – anda cuba menggelecekkan pemain lawan yang datang ke arah anda.

“Orang dari generasi berbeza akan mengingati apabila pemain sayap beraksi seperti itu dan ia hampir menyerupai gaya Ryan Giggs yang gemar menewaskan pemain yang mendatanginya.

“Mo Kudus juga sedang berpuasa. Saya fikir ia penting kerana (Nayef Aguerd dan Kurt Zouma, dua lagi pemain beragama Islam dalam barisan West Ham) mempunyai fokus.

“Mereka benar-benar memberi penumpuan dan mereka faham ia waktu yang sukar apabila anda tidak makan pada waktu siang. Tapi saya fikir ada kalanya ia (berpuasa) memberikan pemain-pemain dengan kepercayaan seperti itu lebih sedikit fokus, jadi ia baik untuk mereka,” kata Moyes seperti dipetik laman Tribal Football.

Kudus, pemain berketinggian 1.75 meter yang pernah bersama Ajax pada 2020 dan FC Nordsjaelland (Denmark) pada 2018 sebelum menjaja kemahirannya di London pada 2023, hanya mengundang kekaguman pengurusnya.

“Mo Kudus adalah seorang pemain hebat untuk bekerja dengannya. Dia seorang penyenyap tapi kami semua sangat sukakannya. Dia juga banyak meningkat. Kami boleh memainkannya di banyak posisi dan kebolehannya itu memberikan kami sedikit fleksibiliti.

"Saya rasa Mo Kudus mempunyai pilihannya sendiri terhadap cara dia mahu bermain. Berdepan Freiburg, dia menjaringkan gol-golnya dengan kaki kiri. Tapi kebanyakan golnya adalah dengan kaki kanan dan kami tahu dia boleh berfungsi sama baik sebagai pemain no 10 dan no 9.

“Kemampuan serba bolehnya memberikan kami banyak peluang. Kerananya, kami benar-benar gembira dengan sikap dan cara dia meninggalkan impak dalam Liga Perdana,” katanya.

Mo  Kudus

Mo Kudus pernah mencuri tumpuan selepas menampilkan aksi cemerlang berdepan Freiburg. — Agensi

BACA LAGI: [VIDEO] Tiba-tiba jadi striker bidan terjun, bekas kapten Kedah tak sangka jaringkan gol

West Ham kini tergolong dalam satu perkumpulan elit. The Hammers tampil selaku satu daripada hanya enam kelab – selain Manchester City, Real Madrid, Bayern Munich, Benfica dan Roma -- yang mara ke peringkat suku akhir saingan Eropah dalam setiap satu daripada tiga musim terakhir.

Dalam suku akhir UEL pada 11 dan 18 April, West Ham akan berdepan ujian sebuah lagi kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen kendalian Xabi Alonso.

Menyusuli kecemerlangan Kudus itu, Ahad lalu pula menonjolkan Diallo, pemain antarabangsa Ivory Coast semuda 21 tahun yang menghasilkan jaringan dramatik dalam masa tambahan untuk United menyingkirkan Liverpool 4-3 dalam aksi suku akhir Piala FA.

Diallo dilihat bertenaga sejurus masuk sebagai pemain gentian pada minit ke-85, apatah lagi mengambil kira dia berpuasa pada hari perlawanan.

Malah, ia seakan-akan bertepatan untuk namanya tertulis sebagai penjaring gol kemenangan selepas pemain itu yang cemerlang ketika dipinjamkan kepada Sunderland musim lalu, jarang sekali diberi minit permainan musim ini.

Pemain yang berkebolehan di kedua-dua bahagian tengah dan sayap itu menyudahkan satu serangan balas United pada minit ke-121 sebelum dibuang padang gara-gara menanggalkan jersinya – dia sebelum itu sudah mendapat kad kuning – sebagai cara meraikan jaringannya.

"Bukan mudah apabila sedang berpuasa tetapi anda perlu yakin. Saya berpuasa kerana Allah. Saya berpuasa dan mahu berjuang untuk pasukan jika saya berada di atas padang. Syukur kepada Allah untuk saat ini," katanya.

Turut dilaporkan beberapa minggu lalu bahawa pemain sayap United itu memadamkan akaun media sosialnya kerana mahu memberi tumpuan kepada ibadah puasa di bulan penuh keberkatan ini.

"Saya tidak mengaktifkan akaun media sosial untuk sebulan bagi memberi tumpuan kepada Ramadan, bulan suci untuk saya, dan media sosial adalah tempat yang anda boleh lihat perkara tidak elok ketika berpuasa.

"Hentikan kebencian, tidak ada apa yang salah dengan apa yang saya lakukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram