Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.
HELAH memalsukan kecederaan semata-mata untuk berbuka puasa di atas padang ketika perlawanan barangkali lebih dahulu dipelopori skuad Piala Dunia Tunisia pada 2018. Mungkin itulah yang ditiru oleh tiga penjaga gol kelab berbeza dalam aksi Liga Belgium, Ahad lalu.
Lebih dahulu dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Perbandaran Braga, Portugal pada 29 Mei 2018, penjaga gol Tunisia, Mouez Hassen, tiba-tiba rebah sejurus tiba waktu untuk berbuka puasa.
Sambil dia diberi rawatan, rakan-rakan sepasukannya bergegas garis tepi padang untuk memamah buah tamar dan meneguk air.
Seperti dilaporkan BBC News, helah itu menghasilkan keputusan serta-merta.
Ketinggalan 1-2 kepada juara Eropah, Portugal, di tempat lawan, Tunisia bangkit enam minit selepas ‘kecederaan’ Mouez itu untuk mengikat kedudukan 2-2 yang mampu dikekalkan mereka hingga tamat permainan.
Selang beberapa hari di Stade de Geneve, Geneva pada 2 Jun 2018, Mouez sekali lagi memaksa permainan diberhentikan apabila terbaring di depan pintu golnya. Sekali lagi, rakan-rakan sepasukan disajikan buah tamar dan minuman oleh pasukan kejurulatihan mereka.
Dan seperti perlawanan terdahulu, aksi berkenaan juga berkesudahan 2-2.
Rakaman video insiden itu turut ditularkan oleh seorang penyokong tegar Tunisia. Harus seperti yang diinginkannya, kisah itu mencuit hati ramai peminat bola sepak di negara itu.
BACA LAGI: Diam-diam buat kerja, pengganti Rizal Ghazali sudah tiba di Sabah?
Sebahagian aksi penjaga gol Tunisia, Mouez yang pura-pura cedera dalam aksi persahabatan menentang Portugal pada 2018. — Agensi
Malah, pengulas bola sepak di Tunisia segera menonjolkan ketepatan waktu berlakunya ‘kecederaan’ penjaga gol berkenaan dalam separuh masa kedua bagi kedua-dua perlawanan – masing-masing pada minit ke-58 dan 47 seiring dengan masuknya waktu Maghrib di kedua-dua venue.
Persekutuan Bola Sepak Tunisia enggan mengulas ketepatan waktu ‘kecederaan’ Mouez dalam kedua-dua perlawanan terbabit.
Mouez pula membuat ciapan di Twitter: “Saya benar-benar cederalah” diiringi emoji ketawa sebagai balasan kepada komen rakan sepasukan, Chaker Alhadhur: “Semuanya baik-baik saja, kami tahu kamu hanya berpura-pura.”
Tidak pula dilaporkan sama ada penjaga gol itu mengulangi gelagat serupa ketika Tunisia mengharungi perlawanan persahabatan ketiganya menentang Sepanyol di Stadium Krasnodar, Rusia pada 10 Jun yang dimenangi lawan hasil jaringan Iago Aspas pada minit ke-84.
Pasukan Afrika Utara itu membuka kempen Piala Dunianya dengan kekalahan 1-2 kepada England hasil dua jaringan Harry Kane di Volgograd Arena pada 19 Jun 2018 – ketika Ramadan sudah berakhir.
Isnin lalu pula, SPORZA, sebuah rangkaian televisyen dan radio Belgium yang mengkhususkan kepada liputan sukan, melontarkan persoalan bagaimana dalam tiga daripada empat perlawanan Liga Belgium pada hujung minggu lalu menyaksikan penjaga gol rebah dengan ‘kecederaan’ pada waktu yang hampir sama.
Ia bukan pun satu kebetulan, sebaliknya satu helah untuk meluangkan masa kepada pemain beragama Islam berbuka puasa.
Selepas kira-kira 20 minit permainan, semangat kesukanan menyerlahkan solidariti apabila tiga daripada empat perlawanan ‘play-off’ menyaksikan seorang penjaga gol terbaring hampir serentak dengan mimik muka seolah-olah menahan kesakitan.
Tipu-daya itu didahului oleh Herve Koffi dalam perlawanan KAA Gent-Charleroi, disusuli oleh Tobe Leysen dalam pertemuan OH Leuven-Mechelen dan kemudian oleh Maarten Vandevoordt dalam pertembungan Westerlo-Racing Genk pada kira-kira jam 6.51 petang waktu tempatan.
Gelombang ‘kecederaan’ secara tiba-tiba dalam kalangan tiga penjaga gol terbabit adalah sebahagian pakatan sulit yang diatur dari awal. Lebih-lebih lagi, ramai pemain dalam Liga Belgium yang berpuasa.
Berbanding aksi liga di England dan Belanda di mana pengadil dibenar menghentikan permainan seketika untuk pemain beragama Islam berbuka puasa apabila tiba waktunya, tiada kelonggaran seperti itu dibenarkan dalam Liga Belgium.
Tiga penjaga gol kelab Liga Belgium yang didapati memalsukan kecederaan. — Agensi
BACA LAGI: Tak mustahil Zaquan Adha, bekas anak murid dalam radar Rezal Zambery mantapkan KDN FC
Jadi, pemain-pemain mengambil keputusan untuk melaksanakan peraturan sendiri untuk memaksa pemberhentian pada minit ke-25 permainan.
Vandevoordt sekadar ketawa apabila ditanya mengenai ‘kecederaan’ dialaminya.
“Saya tiba-tiba terseliuh pergelangan kaki untuk seketika,” katanya. “Tidaklah. Ia untuk meluangkan masa kepada pemain beragama Islam melepaskan dahaga.”
Penjaga gol Ghent, Davy Roef, turut mengakui mahu melakukan yang sama tapi penjaga gol lawan lebih awal sedikit daripadanya.
“Ia sudah disetujui untuk dilakukan pada minit ke-25 tapi saya nampak Koffi (penjaga gol Charleroi dan pemain kebangsaan Burkina Faso) lebih dahulu tumbang. Nampaknya mereka ada jadual berbeza,” katanya.
Dalam keadaan berpuasa sekalipun, pemain nampaknya tidak ketandusan helah mereka sendiri dalam memenuhi tuntutan agama, apatah lagi ketika peraturan ciptaan manusia tidak pun menghormati hak mereka.
Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) yang pada 14 Mac lalu mengumumkan larangan pemberhentian permainan seketika untuk pemain beragama Islam berbuka puasa ketika dalam perlawanan liga, turut wajar ‘diajar’ dengan cara yang sama.
Media Perancis melaporkan, presiden FFF enggan tunduk kepada desakan bagi mengelakkan sebarang provokasi selain memetik Artikel 1.1 perlembagaannya bagi mengelakkan sebarang representasi keagamaan ketika perlawanan.
Langkah tidak bertimbang rasa itu turut mencetuskan perdebatan terhadap pertimbangan tuntutan keagamaan dalam sukan di samping membangkitkan persoalan kepada perlunya bersifat inklusif dan meraikan kepelbagaian dalam kalangan komuniti bola sepak.
Keputusan itu, yang menawarkan alasan untuk menegakkan peraturan sedia ada, menyaksikan pelbagai pihak, termasuk penyokong, membantah pendirian berkenaan sehingga melabel FFF mengamalkan Islamofobia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram