Ada pengalaman beraksi di Sepanyol, Kim Swee masih belum beri kata putus masa depan Stamboulidis bersama The Rhinos


  • Podium
  • Khamis, 21 Mac 2024

Stamboulidis perlu menunggu kata putus untuk mendapatkan peluang menyertai skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

PENYOKONG Sabah FC ketika ini semakin teruja apabila khabar angin mengatakan kelab itu bakal menerima kehadiran import baharu.

Ura-ura berkenaan timbul selepas kelibat pemain dari Greece, Haris Stamboulidis kelihatan di padang latihan skuad Sang Badak baru-baru ini.

Melihat kepada kariernya, pemain serba-boleh berkenaan memiliki pengalaman berharga apabila pernah bermain untuk kelab kerdil di Sepanyol, Extremadura.

Selain itu, struktur fizikalnya yang mencecah 1.86 meter terbabit pasti akan memberi kelebihan buat Sabah FC dalam saingan musim depan.

BACA LAGI: Bukan Kedah atau Sabah, slot ACC hampir pasti jadi milik KL City, TFC

Haris_stamboulids

Stamboulidis ketika beraksi di Sepanyol bersama Extremadura. Agensi

Tetapi, hasrat penyokong Sang Badak untuk melihatnya menyarung jersi pasukan itu masih belum kesampaian kerana satu kata putus tidak boleh diberikan setakat ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menegaskan bahawa penilaian masih dibuat terhadap Stamboulidis.

"Kita mengesahkan pemain ini sudah bersama-sama kita dan apa yang saya lihat prestasinya cukup positif dan ini akan kita umumkan dalam masa terdekat sama ada akan menandatangani pemain baharu ini atau pun tidak," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu kini beraksi di kelab bawahan Greece, Veria dengan tiada penampilan direkodkannya sejak menyertai pasukan terbabit.

BACA LAGI: Diam-diam buat kerja, pengganti Rizal Ghazali sudah tiba di Sabah?

433079858_805993414900685_1652230079947384905_n

Skuad Sang Badak mengeluarkan kenyataan menjelang saingan musim depan. Facebook/Sabah FC

Sekiranya dia sah menyertai skuad Sang Badak, Stamboulidis bakal menjadi rekrut pertama Sabah FC pada jendela perpindahan.

Jelas Kim Swee lagi, import musim lalu akan dikekalkan, sekali gus menetapkan sasaran kelab berada dalam kelompok lima pasukan teratas.

"Kita lihat sasaran ini sangat positif serta berharap Sabah FC mampu melakukannya, sekali gus cuba memperbaiki kelemahan daripada musim lalu," katanya.

Skuad Sang Badak menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga ketiga, selain merekodkan prestasi cukup baik dalam Piala AFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram