MASA semakin hampir nampaknya buat wakil dari Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain menyertai saingan Kejohanan Kelab-Kelab Asean (ACC).
Kejohanan bola sepak serantau ala Liga Juara-Juara AFC akan menyaksikan Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) menganjurkan Piala Asean tetapi dalam versi kelab.
Perebutan kejuaraan ACC akan bermula pada musim 2024/2025 dengan Malaysia diberikan dua slot bersama-sama wakil daripada Thailand dan juga Indonesia. Sementara negara lain seperti Singapura, Filipina dan Kemboja hanya menerima satu slot.
Pemberian slot ini menjadi teka-teki di peringkat Malaysia kerana penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) sebelum ini tidak menyediakannya untuk Liga Super 2023.
BACA LAGI: Perlis United tak jadi sertai Liga Super?
Terengganu dan KL City masing-masing merupakan finalis Piala Malaysia serta Piala FA musim lalu. — Terengganu FC
Namun begitu, Januari lalu, MFL telah menamakan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC sebagai wakil Malaysia untuk beraksi dalam saingan ACC kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan merit pencapaian mereka yang menduduki kedudukan empat terbaik Liga Super musim lalu dengan Sabah di tempat ketiga sementara Kedah pula keempat.
Akan tetapi, keputusan tersebut dijangka berubah apabila kedua-dua kelab itu mungkin disisihkan daripada mewakili Malaysia di ACC.
Sebaliknya, slot itu mungkin diberikan kepada dua kelab yang lain iaitu Kuala Lumpur City FC bersama-sama Terengganu FC.
BACA LAGI: Jangan ulangi kesilapan Terengganu, KDN FC tak perlu cabar TRW untuk jadi kelab 'terpaling' Kelantan
MFL mencadangkan Kedah dan Sabah untuk jadi wakil Malaysia. — KDA FC
Merit pemberian slot kepada dua kelab tersebut dilihat kerana KL City dan Terengganu merupakan naib juara bagi dua piala domestik musim lalu iaitu Piala FA serta Piala Malaysia.
Skuad Warga Kota tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-2 dalam perlawanan akhir Piala FA sementara Terengganu tumpas 1-3 kepada lawan sama ketika final Piala Malaysia.
Status KL City dan Terengganu sebagai wakil Malaysia di ACC dilihat sebagai "hampir pasti" dengan ia hanya menanti pengumuman untuk dilakukan.
Kedua-dua wakil negara itu dijangka menyertai kelab seperti PSM Makassar, Persija Jakarta (Indonesia) serta Balestier Khalsa (Singapura) di ACC kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram