MESKIPUN Oman menerima kehadiran Ketua Jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy namun ia tidak menghalang tumpuan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk terus mengkaji taktikal skuad tersebut.
Pan-gon mendedahkan bahawa sebelum ini, pihaknya sudah pun mengkaji pendekatan taktikal yang sering diterapkan oleh bekas pengendali Oman, Branko Ivankovic.
Bukan itu sahaja, pengendali Harimau Malaya tersebut mengatakan bahawa mereka turut mengkaji setiap karakter pemain Oman.
BACA LAGI: Diam-diam buat kerja, pengganti Rizal Ghazali sudah tiba di Sabah?
Dominic Tan (dua kiri) dan Darren Lok (tiga kiri) antara tonggak Sabah FC yang akan membantu skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif aksi berdepan Oman. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Penjaga gol pura-pura cedera tipu-daya lama curi masa buka puasa
“Kami sudah mengkaji perlawanan mereka sebelum ini sehingga ke Piala Asia, kami sangat yakin mengetahui semua elemen pasukan Oman.
“Tetapi Oman menggantikan jurulatih mereka selepas itu dan kami cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai pengendali baharu itu pernah lakukan di Republik Czech.
“Bagaimanapun, kami tahu ciri-ciri setiap pemain Oman tetapi agak sukar untuk kami meneka mengenai formasi yang akan digunakan oleh jurulatih baharu berkenaan," katanya.
Menurut Pan-gon, pasukan kendaliannya kini berada dalam momentum terbaik dalam misi mencuri satu mata berharga aksi berdepan Oman nanti.
“Saya yakin pemain sudah bersedia untuk menampilkan aksi berkualiti buat penyokong untuk menghadapi perlawanan yang sukar ini.
“Saya harap Harimau Malaya dapat menunjukkan kekuatan sebenar dan mendapat sekurang-kurangnya satu mata dibawa pulang untuk perlawanan timbal balik di Malaysia nanti," jelasnya.
Ketika ini, skuad kebangsaan mendahului carta Kumpulan D selepas meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3 dan Taiwan (1-0) pada tahun lalu dan berpeluang untuk mengukuhkan cengkaman jika melakar kejutan ke atas pasukan raking ke-80 dunia itu.
Skuad Harimau Malaya akan turun menentang Oman pada Jumaat dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat sebelum timbal di laman sendiri pada 26 Mac nanti. — The Star/LIMTEIKHUAT
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram