PRESTASI merundum berterusan pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) memberikan signal bahawa rombakan menyeluruh perlu dilakukan sebelum Sang Kenari melangkah ke saingan liga Malaysia musim hadapan.
Seperti dijanjikan oleh pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam 'manifestonya' sewaktu mengambil alih pucuk pimpinan kelab tersebut, Kedah FC memulakan rombakan pada barisan kejurulatihannya.
Sehingga kini, KDA FC masih lagi berteka-teki mengenai pengganti yang akan menggalas tugas bekas ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak serta jurulatih penjaga gol berpengalaman, Khairul Azman Mohamed.
Namun ketiadaan jurulatih tetap tidak menghalang pengurusan KDA FC untuk segera 'memancing' pemain-pemain dari kelab lain bagi memperkuatkan barisan pemainnya pada musim depan.
Difahamkan, Kedah kini sedang cuba mendapatkan pemain sayap Terengganu, Faiz Nasir bagi membantu pasukannya untuk meraih lebih banyak jumlah gol pada saingan akan datang.
Pemain berusia 30 tahun tersebut sememangnya seorang pemain yang disayangi di dalam kem Terengganu FC (TFC) setelah bekhidmat dengan pasukan tersebut dalam tempoh lebih kurang lima tahun.
Bersama skuad Penyu, Faiz sering membantu jentera serangan TFC yang diketuai Kpah Sherman atau Tchetche Kipre untuk mendapatkan bola sebelum disudahi dengan ledakan gol.
Nafuzi Zain merupakan antara jurulatih yang dikaitkan dengan Sang Kenari.
Justeru, kehadiran Faiz dijangka mampu mengisi 'kesunyian' penyerang lincah, Fayadh Zulkifli serta penyerang import, Ronald Ngah Wanja dalam melengkapkan jaringan buat pasukan Sang Kenari selain bergantung harap kepada Mahmoud Al-Mardi.
Melihat kepada perkhabaran tersebut, rata-rata penyokong Terengganu meramalkan bahawa pemain kelahiran Kelantan itu tidak akan bertahan lama di bumi Jelapang Padi tersebut.
Pertikaian itu adalah berdasarkan pengalaman Faiz yang hanya menghabiskan satu musim bersama Selangor FC pada 2019 sebelum kembali semula bersama skuad kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Salah seorang penyokong, Rasidburasid Rasid berkata: "Faiz ni pergi satu musim sahaja, lepas tu kembali semulalah dia ke TFC."
"Cubalah semusim. Macam pergi Selangor FC itu tidak serasi. Dengan TFC dulu baru ngam. Ini fakta!", tegas Zack Zukries.
Terdapat juga penyokong yang berasa perpindahan Faiz itu masuk akal sekiranya Nafuzi sah menjadi ketua jurulatih Kedah seperti yang digembar-gemburkan.
"Dah sah dah tu. Sebab dengar, Nafuzi yang nak bawa pergi sana. Rasanya kontrak Nafuzi sudah sah bersama Kedah," kata Tengku Imran.
"Kalau dia pergi, betullah tu Nafuzi dah tandatangan dengan Kedah," sambung Peteh Ganu.
Faiz beraksi dalam 11 perlawanan buat Terengganu FC pada musim ini dalam saingan Liga Super dan menyumbang dua bantuan gol.
Aksinya dalam Piala FA lebih cemerlang apabila menyumbang dua gol dan satu bantuan gol dalam empat perlawanan, sekali gus membantu TFC untuk layak ke final Piala FA walaupun tidak bergelar juara selepas tewas kepada Johor Darul Takzim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram