Ada 'connection' di Bentong, Stuart Wilkin rupanya mulakan karier sebagai penjaga gol


  • Podium
  • Selasa, 19 Mac 2024

Reputasi Stuart semakin meningkat selepas bertahun-tahun membuktikan kualitinya sebagai seorang pemain tengah.

REPUTASI pemain tengah negara, Stuart Wilkin ketika ini terus meningkat selepas sumbangannya dalam skuad kebangsaan semakin disedari ramai.

Di peringkat kelab pula, pemain berkenaan semakin diangkat sebagai tonggak Sabah FC selepas khidmatnya sepanjang dua musim cukup penting dalam mengubah pasukan itu.

Bagaimanapun, pasti ramai tidak tahu bahawa Stuart memulakan kariernya sebagai penjaga gol kerana terlalu malu untuk mencuba posisi lain.

Dalam satu perkongsian di laman sesawang FIFA, pemain kelahiran England itu mengatakan dia ditugaskan menjaga gawang pasukan di peringkat belia.

BACA LAGI: Tak gusar tandus gol, tonggak Sabah FC tumpang gembira buat Faisal Halim, Romel Morales

FzHOFc8agAAOwtw

Stuart ketika masih bergelar pemain dalam akademi belia Southampton. Agensi

"Ketika saya mula bermain, saya seorang yang pemalu. Ketika jurulatih memberikan posisi kepada pemain, orang ramai sudah memilih peranan masing-masing sehingga hanya penjaga gol tidak diisi dan mereka meletakkan saya di situ.

"Akhirnya, saya kekal di posisi tersebut untuk beberapa musim sebelum pemain utama meninggalkan pasukan. Saya tanya kepada jurulatih sama ada boleh diberikan peluang di posisi lain dan dia meletakkan saya sebagai penyerang," katanya.

Peluang itu diambil cukup baik jeneral berusia 26 tahun berkenaan apabila dia sering menjaringkan gol, sekali gus mencuri perhatian barisan kejurulatihan.

Stuart merupakan graduan akademi daripada kelab ternama England, Southampton sebelum menyertai pasukan divisyen bawahan di negara itu, Metropolitan Police.

BACA LAGI: Bukan Kedah atau Sabah, slot ACC hampir pasti jadi milik KL City, TFC

2499127

Stuart (kanan) ketika beraksi dalam peringkat kumpulan Piala Asia berdepan Jordan. Facebook/FAM

Tidak lama selepas itu, dia yang berdarah kacukan dipanggil untuk menyertai skuad simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan menghabiskan tempoh dua musim dalam pasukan itu.

Kariernya semakin memuncak apabila pemain berkenaan menjadi watak penting di peringkat kelab sehingga membolehkannya disenaraikan Kim Pan-gon untuk mewakili Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, keputusannya untuk menceburi arena bola sepak tanah air dibuat selepas terdapat dorongan pelbagai pihak diberikan kepadanya ketika beraksi di peringkat universiti.

"Ibu saya datang dari Bentong, Pahang dan saya sering ke sana ketika waktu kecil untuk menziarahi saudara mara ketika bercuti. Tetapi, saya tidak tahu menahu mengenai bola sepak Malaysia ketika itu.

1809709

Penyokong skuad Sang Badak pasti mengharapkan agar Stuart kekal musim depan. Facebook/Sabah FC

"Namun, semasa bermain di Amerika Syarikat untuk kolej, saya sering menerima mesej di media sosial yang mengalu-alukan saya beraksi dalam Liga Super," katanya lagi.

Prestasi memberangsangkan Stuart menyaksikannya dipanggil mewakili negara ketika Piala Asia dan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Malah, terdapat khabar angin mengatakan beberapa kelab Liga Super mahu mendapatkan khidmatnya, termasuk JDT dan Selangor FC.

Bagaimanapun, sehingga kini, dia masih milik skuad Sang Badak dengan kelab Borneo itu pasti mahu mengekalkan khidmatnya untuk tempoh yang panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram