Kehilangan Matt Davies dan Junior tak dirasai, ramai suka bek Sabah jadi taruhan utama lawan Oman


  • Podium
  • Ahad, 17 Mac 2024

Matthew dilaporkan mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac lalu. — Facebook/JDT

DUA pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies dan Junior Eldstal disahkan tidak menyertai pasukan kebangsaan dalam perlawanan menentang Oman bagi aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jumaat ini.

Kehilangan dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disahkan sendiri oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Matthew dan Junior tidak mendaftarkan diri selepas skuad Harimau Selatan menerusi surat rasmi memaklumkan bahawa mereka mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac lalu.

"Justeru JDT memohon pengecualian buat kedua-dua pemain berkenaan untuk melapor diri bersama skuad kebangsaan dan akan menjalani rawatan pemulihan selanjutnya bersama kelab. Laporan kecederaan dilampirkan dalam surat tersebut.

"Dengan ketiadaan Matthew dan Junior, skuad Harimau Malaya kini mempunyai 31 pemain dalam kem latihan.

"Daripada 31 pemain tersebut, seramai tujuh pemain dilepaskan ke skuad B-23 kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido yang akan memulakan kem latihan pusat mereka pada Ahad, 17 Mac 2024 bagi persiapan menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, bulan depan," memetik kenyataan FAM pada Ahad.

BACA LAGI: Ramai masih ingat, bintang Korea Selatan muncul hero Sang Seladang benam kelab Pantai Timur

Walaupun kedua-dua mereka merupakan watak utama benteng pertahanan skuad kebangsaan ketika Piala Asia Qatar namun sebahagian penyokong menerima berita berkenaan dengan berlapang dada.

Malah, penyokong Harimau Malaya juga mengganggap Pan-gon sudah menemui pengganti lebih baik terutama di posisi bek kanan iaitu pemain Sabah FC, Daniel Ting yang diharapkan sangat sesuai untuk mengisi posisi Matthew.

"Daniel Ting lebih solid sekarang. Mungkin Davies dah terlalu lama selesa di posisinya. Tak seperti masa dia main dengan Pahang," bagi penyokong domestik, Mohd Firdaus.

"Daniel Ting ada. Dia lagi perform buat kerja-kerja pertahanan berbanding Matt Davies," tambah penyokong Harimau Malaya, Opus Osai.

"Junior tiada pun tidak apa. Banyak pemain boleh jadi backup untuk bek tengah," kata penyokong skuad kebangsaan, Emier Danish.

BACA LAGI: Hanya 2 kad merah sepanjang karier, 'The Butcher' Sri Pahang miliki corak permainan bersih

daniel

Penyokong meletakkan harapan kepada Daniel untuk menggantikan Matthew. — Facebook/FAM

Sejak aksi cemerlang menyekat bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min dalam perlawanan membabitkan Malaysia menentang Korea Selatan pada Januari lalu, saham Daniel semakin melonjak dan dianggap antara bek terbaik negara ketika ini.

Dalam pada itu, kehilangan Matthew dan Junior menyaksikan hanya 24 pemain akan dibawa ke Muscat, Oman pada Ahad bagi menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang skuad The Reds di Sultan Qaboos Sports Complex pada 22 Mac ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram