SKUAD Harimau Malaya meraih kemenangan dengan keputusan 5-1 dalam aksi pemanas badan bertemu Nepal pada Jumaat.
Dalam perlawanan yang berlangsung secara tertutup di Stadium Mini UiTM Shah Alam, Selangor itu, anak-anak buah Kim Pan-gon menampilkan aksi persembahan memukau sekali gus memberi keyakinan kepada pasukan kebangsaan.
Malaysia yang akan bertandang ke Muscat bagi berdepan Oman untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dilihat memanfaatkan sebaiknya aksi persahabatan itu.
Dalam aksi tersebut, tiga tonggak Sabah FC iaitu Darren Lok, Stuart Wilkim dan Daniel Ting antara pemain yang berjaya membantu skuad Harimau Malaya mencetak gol.
Selain trio tersebut, pemain Harimau Muda, Mukhairi Ajmal Mahadi turut mencipta nama selepas mencetak jaringan pada minit-minit akhir perlawanan.
BACA LAGI: Gawang bocor masa tewaskan Nepal, ekor Harimau Malaya tidur tak lena
Mukhairi berpotensi untuk mewakili skuad Harimau Malaya ke Oman selepas mencetak gol aksi berdepan Nepal. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Sang Kenari antara 3 kelab 'hati kering' guna khidmat striker muda
Dalam pada itu, pastinya peluang Mukhairi untuk mewakili Malaysia ke Oman semakin cerah selepas sebelum ini difahamkan hanya satu atau dua sahaja pemain muda bakal dipilih.
Selain Mukhairi, antara pemain muda yang disebut-sebut bakal mendapat kepercayaan Pan-gon iaitu Nooa Laine dan Azam Azmi Murad.
Mukhairi sebelum ini mengakui bahwa ia adalah masa yang sesuai untuk menyinar dalam skuad kebangsaan.
"Saya akan mencecah usia 23 tahun tahun ini, dan saya rasa inilah masa saya untuk menunjukkan bahawa saya boleh menjadi sebahagian daripada skuad senior.
“Saya telah bermain untuk pasukan kebangsaan 12 kali tetapi orang masih melihat saya sebagai pemain utama untuk skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
“Saya mahu mencabar diri sendiri tahun ini dan mengambil peluang untuk memberi impak lebih besar dalam skuad bimbingan jurulatih Pan-gon.
“Sama seperti pemain lain, saya mahu pergi ke Muscat. Saya telah bersama pasukan ini sejak 8 Mac dan saya telah menunjukkan yang terbaik kepada barisan kejurulatihan semasa sesi latihan.
“Saya mahu bermain dalam kelayakan ini dan kemudian pergi ke Qatar untuk Piala Asia Bawah 23 AFC dengan penuh keyakinan," jelasnya.
Mukhairi dijangka menjadi ketua pasukan Harimau Muda dalam Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC dari 15 April hingga 3 Mei. — The Star/ T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram