'KBS, MAM ada persatuan perlu ditatang', TKKR Racing Team luah rasa kecewa isu tajaan, sokongan


  • Podium
  • Ahad, 17 Mac 2024

Pelumba TKKR Racing Team, Azlan Shah ketika perlawanan pusingan pembukaan ARRC di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada Sabtu. — Facebook/TKKRRacingTeam

PELUMBA berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman bermula langkah kanan apabila memenangi Perlumbaan 1 iaitu pusingan pembukaan pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada Sabtu.

Azlan Shah yang mewakili TKKR Racing Team itu bermula di petak kelima namun berbekalkan pengalaman yang ada, pelumba berusia 39 tahun tersebut berhasil bangkit untuk memenangi perlumbaan 13 pusingan ASB1000 dalam masa 20 minit 50 saat .

Kemenangan Azlan Shah itu tambah berharga apabila difahamkan pasukan berkenaan mengharungi pelbagai cabaran sehingga ada masanya hampir menarik diri dari kejohanan ARRC selepas antara penaja utama TKKR Racing Team mengundur diri pada awal tahun ini.

Menerusi luahan pengurus pasukan, Bobie Farid Shamsudin pada laman Facebook TKKR Racing Team, dia berkongsi kepayahan dan cabaran yang dihadapi terutama dari aspek tajaan serta sokongan pihak berkepentingan sebelum kejayaan Azlan Shah meraih kemenangan sulung pada kalander ARRC tahun ini.

Bobie Farid sering menggunakan Facebook TKKR Racing Team sebagai platform untuknya berkongsi dan berinteraksi dengan penyokong mengenai perkembangan semasa pasukan berkenaan.

Penaja yang sepatutnya membantu kewangan TKKR Racing Team difahamkan meletakkan banyak syarat sebelum bersetuju bekerjasama dengan mereka namun tuntutan tersebut akhirnya tidak dapat dipenuhi oleh pasukan berkenaan.

BACA LAGI: Kehilangan Matt Davies dan Junior tak dirasai, ramai suka bek Sabah jadi taruhan utama lawan Oman

"Pada saat akhir sebuah syarikat minyak tempatan memutuskan mereka hanya bersetuju untuk menaja kami jika kami bersetuju untuk menjual produk mereka dengan jumlah yang melebihi jumlah tajaan.

"Kami merasakan ianya sesuatu yang tak masuk akal kerana usaha ini mengambil masa lapan bulan naik dan turun membuat presentasi kepada syarikat tersebut.

"Walaupun kecewa dengan tindakan mereka namun setiap penajaan perlu ada pulangan dan tajaan sukan di Malaysia tidak begitu. Kami tidak menyalahkan pihak tersebut namun waktu sudah terlalu suntuk untuk mencari penaja baharu," katanya.

Tambah kenyataan itu, kelengkapan di kejohanan ARCC juga menggunakan jentera pada musim lepas yang menyaksikan pasukan mereka bergelar pemenang keseluruhan bagi ASB1000 dan juara pasukan keseluruhan untuk kategori underbone UB150.

Episod malang TKKR Racing Team terus menambah apabila dua enjin pelumba keduanya iaitu Markus Reiterberger yang menghuni kedudukan keenam pada kejohanan berkenaan turut rosak pada ujian pra musim.

"Manakala engine untuk Azlan hanya ada satu dan disebabkan itu masa pusingan kelayakan pagi tadi (Sabtu), team merasakan adalah lebih selamat jika kami tidak membuat setup untuk ujian masa kerana catatan masa.

"Azlan amat konsisten sepanjang minggu. Alhamdulillah percaturan itu menjadi cuma bagi marcus kuasa engine yang ada perlu masa untuk penalaan optimum dan kami tiada kelengkapan untuk membuat penalaan tersebut," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas cipta nama di Australia, ada yang tiba-tiba 'claim' Nurelfira dari Indonesia, bukan Tawau

azlan 2

Azlan Shah memenangi perlumbaan 13 pusingan ASB1000 dalam masa 20:50.147. — Facebook/TKKRRacingTeam

Kata Bobie, kesuntukan masa untuk mencari dana juga memaksa TKKR Racing Team untuk tidak akan menyertai perlumbaan di Zhuhai dan Jepun kerana kos untuk dua venue berkenaan amat tinggi.

Malah tambahnya, apa yang lebih mengecewakan pasukan berkenaan apabila badan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sama sekali tidak pernah menghargai usaha TKKR Racing Team di dunia permotoran tanah air.

"Dengan menggunakan banyak dana sendiri, pasukan berkenaan sudah membantu Kasma Danial, Ramdan Rosli, Nazirul Izzat serta Azlan Shah ke pentas Eropah namun usaha itu belum mendapat pengiktirafan dari dua pihak berkepentingan itu.

"Kali ini suasana perlumbaan menjadi tiba tiba meriah dan saya amat pasti ramai yang ingin melihat kami dikalahkan. Di dalam sukan permotoran sudah tentu ada rivalry (permusuhan) tetapi yang menjadi rivalry kami mungkin anda semua tahu pihak yang mana.

"Ya, betul saya amat vokal mengenai dana kerajaan yang digunakan untuk industri ini tetapi tidak pernah kami membelakangi pelumba Malaysia. Namun segala usaha kami tidak pernah mendapat pengiktirafan dari badan sukan iaitu MAM mahupun dari KBS kerana mereka ada team yang perlu dijaga dan persatuan yang perlu ditatang.

"Saya amat vokal kerana ianya adalah untuk membawa sukan ini ke aras yang lebih baik. Bukannya mencipta alasan pelumba Malaysia tak bagus. Hari ini (Sabtu) di umur 40, seorang insan hebat membuktikan sekali lagi dengan team dan pengurusan yang betul, kejayaan boleh dicipta," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram