KEUNGGULAN dipamerkan pelari cilik, Nurelfira Umaira Mohd Yusof sememangnya membawa sinar baharu dalam sukan olahraga negara melihat kepada usianya yang masih setahun jagung.
Dia meraih pingat emas dalam acara larian berpagar dalam Kejohanan WA State Track & Field 2024 di Perth, Australia mudah meninggalkan pencabar lain setelah mencatatkan masa 13.1 saat.
Jadi, tidak hairanlah apabila pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pasir Putih Tawau, Sabah tersebut mula menjadi buah mulut peminat sukan itu, lebih-lebih lagi di rantau Asia Tenggara.
Malah, kemenangan itu tampaknya turut mencuri perhatian media antrabangsa apabila baru-baru ini, sebuah akaun Facebook berpangkalan di luar negara, ASEAN Skyline kagum dengan atlet berusia 13 tahun itu.
Kejayaan Nurelfira atau lebih dikenali sebagai Fira dalam acara itu cukup mengagumkan kerana dia yang lengkap menutup aurat dilihat berjaya mengatasi pelari lain dengan struktur fizikal lebih baik daripadanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Larian deras atlet cilik Sabah gegarkan bumi Australia
Namun, apa yang menarik mengenai hantaran itu adalah apabila seorang pengguna TikTok, rockefeller.mnm secara terbuka mengatakan Fira hadir dari Indonesia.
Perkara berkenaan dikongsikan akaun Facebook tersebut dengan beberapa respons diberikan bagi menempelak tuduhan tidak berasas terbabit.
Kenyataan itu juga pasti membuatkan orang ramai berang memandangkan pelari berkenaan sudah bersungguh-sungguh mengharumkan nama negara di atas trek.
Hal berkenaan turut mendapat perhatian ASEAN Skyline yang menegaskan Fira merupakan anak jati Tawau, Sabah yang terletak di Malaysia.
Perkara sebegitu sudah beberapa kali berlaku dengan pengguna media sosial sering menjadikan dakwaan sedemikian sebagai bahan jenaka antara dua negara jiran itu.
Selain beraksi di Australia, Fira juga pernah menyertai beberapa acara lain, termasuk Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram