Daniel Ting rasai kehilangan duo JDT namun enggan lepaskan peluang


  • Podium
  • Isnin, 18 Mac 2024

Sebahagian sesi latihan skuad kebangsaan kendalian Pan-gon menjelang perlawanan berdepan Oman pada Jumaat. — Facebook/FAM

TONGGAK Sabah FC, Daniel Ting bersedia menggalas tugas yang ditinggalkan oleh pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Matthew Davies dalam skuad kebangsaan.

Ia susulan selepas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengumumkan bahawa dua pemain Harimau Selatan, Matthew dan Junior Eldstal disahkan tidak menyertai pasukan kebangsaan dalam perlawanan menentang Oman bagi aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Difahamkan, Matthew dan Junior tidak mendaftarkan diri selepas skuad Harimau Selatan menerusi surat rasmi memaklumkan bahawa mereka mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac lalu.

Dalam pada itu, Daniel merupakan individu yang tepat menggantikan posisi Matthew kerana tampil cemerlang sebagai bek kanan dalam perlawanan bersejarah ketika skuad kebangsaan mengikat Korea Selatan dengan keputusan 3-3 dalam saingan Piala Asia 2023.

WhatsApp Image 2024-03-18 at 08.54.00

Daniel Ting (kanan) turut mencipta nama selepas berjaya menjaringkan gol ketika aksi pemanas badan berdepan Nepal. — Facebook/FAM

Meskipun akui bahawa ketiadaan duo Harimau Selatan akan dirasai, namun Daniel enggan melepaskan peluang sekiranya diberi kepercayaan oleh Pan-gon.

"Sudah tentu, ia satu kerugian besar, terutamanya kehilangan Matthew, yang merupakan salah seorang ketua pasukan. Kedua-dua mereka adalah watak utama dalam skuad.

"Tetapi, kami mempunyai ramai pemain yang boleh mengisi kekosongan tersebut dan ia adalah peluang yang terbaik.

“Saya tiada masalah jika jurulatih mahu saya bermain di sebelah kanan. Saya pernah bermain dalam posisi itu menentang Korea Selatan dan ia adalah pengalaman yang baik," katanya.

Sebelum ini, Daniel diturunkan di posisi sama dan tampil cemerlang g menyekat bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min dalam saingan Piala Asia pada Januari lalu.

Malaysia akan menentang Oman, yang kini di tempat kedua Kumpulan D, pada 22 Mac di Muscat dan 26 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram