MESKIPUN baru mencetak satu gol pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 ketika berdepan Chinese Taipei, penyerang negara, Darren Lok enggan terlalu memikirkan rekod kurang memberangsangkan itu ketika penyokong mengharapkan lebih banyak gol daripadanya.
Penyerang yang beraksi untuk Sabah FC dalam kancah domestik itu menjelaskan dia hanya fokus untuk menjalankan tugasnya di atas padang dan melakukan yang terbaik setiap kali diberi kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan.
Darren menegaskan bahawa jumlah jaringan peribadi bukan menjadi keutamaan, kerana baginya adalah lebih penting untuk membantu skuad Harimau Malaya mencatat keputusan positif dalam setiap perlawanan yang dihadapi mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Keep The Hope Alive' jadi semboyan Kedah, pengurusan kena sama masuk ceruk cari penyokong 'revive' kantung kelab
Meskipun kurang tajam di depan pintu gawang, Darren bagaimanapun enggan memikirkan komen negatif daripada penyokong. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Bakal ikut jejak abang di JDT, kelab Lembah Klang sambar Zaquan Adha sebagai jurulatih?
“Bagi saya, ia adalah usaha satu pasukan apabila gol dijaringkan. Perkara yang paling penting ialah keputusan akhir iaitu kemenangan untuk skuad, tidak kira siapa yang menjaringkan gol.
“Katakanlah jika ada situasi di mana saya menjaringkan beberapa gol tetapi pasukan akhirnya tewas. Saya tidak fikir orang akan bercakap tentang jaringan tersebut melainkan mereka akan sibuk mengadu tentang kekalahan.
“Saya bersyukur apabila terdapat pemain lain yang boleh menjaringkan gol. Saya sangat gembira melihat Faisal Halim dan Romel Morales mampu mencari jaringan.
“Saya akui bahawa tugas seorang penyerang adalah untuk menjaringkan gol tetapi saya fikir penyokong perlu melihat apa yang saya lakukan di atas padang seperti mencipta gerakan dan membuka peluang kepada rakan sepasukan untuk mencetak jaringan," katanya.
Darren yang berlatih di kem berpusat kebangsaan sejak 8 Mac dijangka memainkan peranan penting dalam dua perlawanan menentang Oman.
Tambahnya lagi, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon banyak menekankan tentang kecergasan kerana kebanyakan pemain tidak mempunyai sebarang perlawanan sejak Januari.
“Kami tahu kepentingan dua perlawanan ini tetapi ia tidak datang pada masa yang sesuai untuk kami. Kami memasuki pramusim dan liga belum bermula.
“Tetapi apabila perlawanan itu tiba, kami mempunyai dua minggu latihan dan itu sudah cukup untuk berada pada tahap yang kami mahu," jelasnya.
Ketika ini, skuad bimbingan Kim Pan-gon sedang dalam persiapan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Oman di Muscat pada 22 Mac sebelum menentang lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 26 Mac.
Malaysia akan mengharungi satu aksi pemanas badan yang dilangsungkan secara tertutup dengan bertemu Nepal, Jumaat ini. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram