KEBERGANTUNGAN sesebuah pasukan terhadap prestasi pemain tidak boleh dipandang remeh kerana sumbangan mereka di atas padang menentukan sama ada kemenangan atau kekalahan berpihak kepada pasukan.
Sekiranya dilihat di atas kertas, harapan tinggi diletakkan di bahu penyerang dalam usaha pasukan memburu jaringan.
Ini pernah ditekankan bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan yang kecewa dengan ketumpulan jentera serangan Kedah FA yang diketuai oleh pemain importnya iaitu Hamidan Mohammed pada 2012.
Ketika itu, pengendali Sang Kenari itu mahu pemain dari Ghana itu membuktikan kemampuannya ketika menentang Negeri Sembilan dalam Liga Super di tempat lawan pada musim tersebut.
BACA LAGI: Sudah belanja sakan, masih ada ruang trio dari JDT, TFC dan Selangor tukar angin ke Borneo
Hamidan (tengah) antara penyerang yang kurang menyerlah dalam skuad Sang Kenari.
Bekas jurulatih Johor dan Negeri Sembilan itu berkata, Hamidan masih belum menemui rentaknya dalam permainan dan membuktikan dirinya sebagai penyerang yang berbisa.
Wan Jamak dilaporkan berkata, sudah memberi amaran keras kepada Hamidan untuk bertindak sebagai penyerang dengan berkesan namun terus gagal mempamerkan prestasi yang baik.
"Ini bukan masanya untuk saya mengajarnya cara menjaringkan gol kerana jika dia datang ke sini sebagai import berstatus tertentu, dia sepatutnya boleh menterjemahkan di atas padang," kata Wan Jamak.
Menurutnya, amaran tersebut bukan untuk menambah tekanan kepada Hamidan tetapi semata-mata untuk meningkatkan permainannya.
Dalam perlawanan tersebut, Kedah FA dikecewakan apabila tumbang di tempat lawan dengan keputusan 1-2.
Untuk rekod, beraksi di Liga M bermula Februari 2012, penyerang berketinggian 1.85 meter itu sudah bermain sebanyak 25 penampilan dalam saingan Liga Super, mencetak 38 jaringan dan menghasilkan tiga hatrik dalam kemenangan 9–0 ke atas Perak FA pada Mac 2012.
Kali terakhir Hamidan berada di bumi Malaysia ialah pada 14 April 2012 selepas kontraknya tidak disambung.
Ketika ini, Hamidan tidak lagi beraksi di mana-mana kelab selepas kali terakhir menabur bakti bersama Kedah FA pada musim 2012. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram