Hanya 2 kad merah sepanjang karier, 'The Butcher' Sri Pahang miliki corak permainan bersih


  • Podium
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Aleksandar Cvetkovic merupakan pertahanan baharu Sri Pahang. — Sri Pahang FC

KELAB Liga Super, Sri Pahang FC telah mengesahkan perpindahan pemain pertahanan dari Serbia iaitu Aleksandar Cvetkovic daripada FC Aarau.

Pemain berusia 29 tahun itu direkrut oleh Fandi Ahmad sebagai salah satu usaha untuk menguatkan lagi benteng pertahanan Tok Gajah menjelang musim baharu Liga Super.

"Pemain berketinggian 1.88m dari Serbia ini menjadi wajah baru barisan pertahanan Sri Pahang. Cvetkovic telah menandatangani kontrak selama satu musim sekali gus melengkapkan slot import bagi musim 2024," kata Sri Pahang dalam kenyataan mereka.

Kehadiran Cvetkovic dilihat mampu menambah sengit di bahagian pertahanan Sri Pahang pada musim ini.

Walaupun pada mulanya dilihat seperti kurang meyakinkan, tetapi penyokong Sri Pahang boleh menjangkakan sesuatu yang positif dihasilkan oleh pemain tersebut apabila turun mewakili skuad Tok Gajah.

Satu perkara yang boleh dijangkakan oleh penyokong adalah rekod disiplinnya yang boleh dianggap baik terutamanya bagi seorang pemain pertahanan.

BACA LAGI: Dari Aarau ke Darul Makmur, Pahang kini miliki bek import baharu

BACA LAGI: Sudah belanja sakan, masih ada ruang trio dari JDT, TFC dan Selangor tukar angin ke Borneo

Hal ini kerana, dalam rekod yang diperoleh menerusi laman Transfermarkt, Cvetkovic hanya mencatatkan dua kali sahaja diperintahkan dibuang padang menerusi layangan kad merah secara terus (straight red card).

Malah, Cvetkovic turut mencatatkan rekod baik dengan hanya sekali dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua dalam 245 penampilannya untuk pelbagai kelab.

Rekod bersih yang dimiliki Cvetkovic ini boleh membantu pertahanan Sri Pahang menjadi lebih ampuh sambil dibantu oleh pemain-pemain lain seperti Adam Nor Azlin, Azrif Nasrulhaq dan Fadhli Shas.

Dalam masa yang sama, Cvetkovic merupakan seorang pemain yang versatil dan mampu beraksi di pelbagai posisi di bahagian pertahanan.

Posisi utamanya adalah pertahanan tengah, namun begitu dia juga kompeten untuk bermain di bahagian pertahanan kiri dan kanan apabila diperlukan.

Fandi mungkin akan cenderung untuk menggunakannya di pertahanan tengah. Namun begitu, Cvetkovic pastinya bersedia untuk diletakkan di mana-mana bahagian pertahanan bagi memastikan pintu gol Sri Pahang tidak bocor.

Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram