Pemain lawan sudah tahu cara Ivan Mamut, Tommy letak harapan kepada duo pinjaman


  • Podium
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Penyerang kelahiran Croatia itu meledak 22 gol pada saingan musim lalu. — Facebook/TFC

MEMASUKI musim kedua bersama Terengganu FC (TFC), penyerang utama Ivan Mamut diseru untuk bekerja lebih keras bagi melonjakkan prestasinya selepas cemerlang meledak 22 gol pada tahun lalu.

Cabaran itu diberi oleh pengendalinya, Tomislav Steinbruckner yang masih meletakkan harapan tinggi kepada penyerang berusia 27 tahun berkenaan untuk terus memperkuatkan bahagian serangan pada musim ini.

22 jaringan yang berjaya diperoleh membuktikan reputasi Mamut sebagai penyerang berbisa untuk membantu TFC dalam beberapa perlawanan penting sehingga berjaya ke pentas final Piala Malaysia 2023.

Namun, pengendali kelahiran Croatia itu memberi bayangan tiada jalan mudah untuk Mamut pada musim ini memandangkan pihak lawan pasti sudah mengenal pasti kelebihan dan kekurangannya selepas setahun beraksi bersama skuad Sang Penyu.

“Kita tahu pada musim pertama, dia berjaya menjaringkan 22 gol dan sudah tentu saya menjangkakan perkara yang sama daripadanya untuk musim ini.

“Kalau tidak dapat 22 gol pun, sekurang-kurangnya dapat menghampiri jumlah itu juga sudah cukup baik, cuma kita tahu keadaan tidak akan selalunya sama.

“Pemain pihak lawan juga mesti sudah tahu cara Ivan bermain dan tahu macam mana nak mengekang pergerakannya, jadi sudah tentu ia tidak akan menjadi mudah buat Ivan.

“Sekarang pun dia ada sedikit kecederaan tetapi sepertimana saya mengharapkan kepada pemain lain, sama juga saya berharap kepadanya untuk terus pamer prestasi terbaik musim ini,” jelasnya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

BACA LAGI: Aksi berdepan Oman, Safawi Rasid akui ada hikmah dapat 'loan' ke TFC

WhatsApp Image 2024-03-15 at 16.37.25

Akhyar dan Safawi dipinjamkan selama semusim ke TFC. — Facebook/TFC

BACA LAGI: Sudah belanja sakan, masih ada ruang trio dari JDT, TFC dan Selangor tukar angin ke Borneo

Dalam pada itu, Steinbruckner atau lebih mesra dengan sapaan Tommy melihat dua pemain tumpuan iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid semakin serasi dengan pasukan dan percaya duo berkenaan mampu memberi impak terbaik bersama rakan sepasukan lain.

“Saya tahu mereka berdua memang pemain yang bagus, berkualiti dan saya memang berharap kepada dua pemain ini.

“Bukan saya sahaja, sudah tentu penyokong di sini (Terengganu) juga menjangkakan sesuatu daripada mereka dan mungkin ini adalah masa terbaik untuk mereka meningkatkan lagi prestasi bersama kelab ini.

“Saya juga tahu posisi mana mereka boleh bermain baik di bahagian sayap atau tengah menyerang dan kadang-kadang di posisi serangan, bergantung kepada situasi.

“Tetapi dengan beberapa pemain lain juga sudah tentu saya boleh buat sesuatu dengan pilihan yang lebih banyak”, tambahnya.

Untuk rekod, dua pemain sayap dari Johor Darul Ta'azim (JDT) itu dipinjamkan selama setahun bagi memberi peluang kepada mereka untuk meraih minit permainan bersama kelab lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram