Jadikan Birmingham muflis sebagai iktibar, ini pro-kontra Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026


  • Massa
  • Khamis, 14 Mac 2024

MOM mengesahkan Malaysia secara rasmi ditawarkan peluang untuk menjadi Sukan Komanwel 2026 bagi menggatikan Victoria yang bertindak menarik diri pada tahun lalu. — Gambar Hiasan

PADA Isnin lalu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan bahawa Malaysia secara rasmi ditawarkan peluang untuk menjadi Sukan Komanwel 2026.

Tawaran dikemukakan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) itu dilakukan susulan penarikan diri oleh Victoria, Australia untuk menganjurkan temasya sukan berkenaan.

Untuk rekod, Victoria menarik diri untuk menjadi tuan rumah edisi ke-23 pada Julai tahun lalu disebabkan kenaikan kos penyelenggaraan dari jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju membayar AUD380 juta bagi pelanggaran kontrak kerana gagal menganjurkan acara berkenaan yang dijadualkan dari 17 hingga 29 Mac 2026.

Dalam kenyataannya mengenai perkara tersebut, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan tawaran untuk menjadi tuan rumah itu pelaburan kewangan yang besar menjangkau 100 juta pound (kira-kira RM601 juta) untuk menyokong perancangan bagi penganjuran edisi 2026 itu.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Sabtu lalu memaklumkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam masa terdekat.

Hannah berkata, KBS sedang menyediakan satu kertas Kabinet yang merangkumi hasil kajian tentang pelbagai aspek penganjuran sukan tersebut.

Berikut Majoriti senaraikan pro dan kontra sekiranya Malaysia membuat keputusan untuk menerima tawaran menjadi tuan rumah buat kali kedua bagi Sukan Komanwel pada 2026:

Pro

1. Tingkat imej Malaysia di persada antarabangsa

Sejak sekian lama, penganjuran temasya sukan sememangnya diakui merupakan antara platform terbaik untuk mengangkat imej sesebuah negara di persada antarabangsa.

Dengan penyertaan daripada kira-kira 72 negara, acara itu pastinya menyediakan peluang yang cukup baik untuk memperkenalkan kebudayaan, warisan dan kekayaan Malaysia kepada negara luar.

Sementara itu, dalam keadaan negara kini seperti bergelut untuk menarik pelaburan luar, penganjuran itu dilihat turut membantu meningkatkan imej negara dalam kalangan pelabur.

BACA LAGI: Malaysia ditawar peluang anjur Sukan Komanwel 2026 ganti Australia

Citaglobal executive chairman and president Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Ini dapat dilakukan dengan menampilkan kebolehan menjayakan acara sukan bertaraf dunia.

Dalam pada itu, penganjuran Komanwel 2026 juga dilihat secara langsung juga memberikan suntikan terhadap daya saing ekonomi negara.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Profesor Yeah Kim Leng berkata, daripada jumlah RM600 juta yang ditawarkan CGF itu sahaja, ia dijangka menyuntik perbelanjaan bersamaan 0.03 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Meskipun mengakui penganjuran acara itu boleh merugikan dari segi kewangan, namun Kim Leng dilaporkan berkata, belanja yang dikeluarkan itu dijangka turut boleh meningkatkan daya maju ekonomi tempatan.

Langkah itu antara lain melalui perbelanjaan yang diperuntukkan bagi naik taraf kemudahan sukan, peningkatan imej di peringkat global dan prospek pelancongan.

Bagaimanapun, beliau menerusi laporan sama berkata, impak sebenar penganjuran temasya berkenaan perlu dinilai dengan mengambil kira kos dan anggaran faedah ekonomi dan juga jaminan perbelanjaan pengurusan yang cekap.

2. Tingkat persiapan atlet negara

Dalam pada itu, keputusan Malaysia menjadi tuan rumah dilihat berpotensi untuk mempersiapkan atlet negara untuk berdepan dua temasya sukan besar iaitu Sukan SEA 2027 dan Olimpik 2028.

Sebagai tuan rumah, negara tentunya mahu tampil pada Sukan SEA 2027 dengan lebih garang khususnya dalam saingan sukan utama.

Sementara itu, Sukan Komanwel juga dilihat cukup kompetitif untuk mempersiapkan lebih ramai lagi atlet negara untuk bersaing di temasya Olimpik 2028.

Ini kerana selain daripada jumlah penyertaan negara yang lebih ramai berbanding sukan SEA, acara Komanwel 2026 turut melibatkan beberapa negara kuasa besar dalam sukan tertentu antaranya England, Australia, New Zealand dan Jamaica.

Kontra

1. Tekanan kewangan

Antara hujah utama suara yang menentang cadangan untuk Malaysia menjadi tuan rumah bagi temasya sukan ini adalah faktor tekanan kewangan bakal dihadapi negara dengan penganjurannya.

Turut membangkitkan mengenai isu sama Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias yang berpandangan bahawa adalah bukan satu langkah bijak sekiranya kerajaan menerima tawaran berkenaan.

Ini kerana menurutnya, kos keseluruhan bagi menganjurkan temasya tersebut dijangka menelan belanja sehingga mencecah RM13 bilion.

Katanya, suntikan dana RM602 juta daripada CGF itu juga langsung tidak mengurangkan beban bakal ditanggung negara.

Pada masa sama, perlu diingatkan juga bahawa negara kini berdepan dengan bebanan hutang yang kini mencecah RM1,172.5 bilion atau 64.3 peratus daripada KDNK.

Dengan nilai pulangan yang masih menjadi tanda tanya, tindakan kerajaan untuk mengeluarkan belanja yang sebegitu besar pastinya akan dipersoalkan.

Sementara itu, risiko ekonomi yang bakal dibawa oleh temasya ini juga tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan.

Ini kerana tuan rumah edisi terdahulu iaitu bandar raya Birmingham di United Kingdom diisytiharkan muflis pada 2023, iaitu setahun selepas kota itu menganjurkan temasya berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Payung terjun 'tak kembang', anggota Paskau berdepan detik cemas ketika di udara Kuantan

2586003

Malaysia meraih tempat keempat ketika menjadi tuan rumah pada Sukan Komanwel 1998. — THE STAR/JIMIN LAI

Meskipun penganjurannya itu bukanlah satu-satunya punca kepada situasi kewangan berkenaan, apa yang dilalui bandar raya tersebut seharusnya dijadikan sebagai panduan serta iktibar dalam menentukan pendirian kerajaan.

Bekas pengarah bukan eksekutif majlis yang dilantik kerajaan Britain pada 2019 untuk membantu menyelesaikan isu kewangan bandar tersebut, Max Caller berkata, beliau sudah memberi peringatan kepada pihak berkuasa pada 2017 supaya memberikan tumpuan terhadap masalah serius dihadapi bandar berkenaan dalam perbelanjaannya.

Dia kemudiannya memberitahu akhbar The Times, saranan itu tidak diendahkan dengan majlis berkenaan memaklumkan bahawa langkah berkenaan akan menjadi detik penting perubahan kepada bandar Birmingham.

Bagaimanapun, jangkaan tersebut ternyata meleset apabila suntikan positif yang diharapkan tidak membuahkan hasil.

Malah, ia juga disifatkan hanya memburukkan lagi keadaan kewangannya apabila Birmingham diisytiharkan muflis pada penghujung tahun lalu.

2. Tempoh terhad untuk persiapan

Sekiranya Malaysia mengambil keputusan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel, negara hanya mempunyai masa dua tahun bagi membuat persiapan diperlukan.

Tempoh tersebut dilihat sangat pendek untuk membolehkan Malaysia melaksanakan perancangan dan persiapan rapi khususnya untuk memastikan temasya tersebut diadakan dengan jayanya.

Dalam pada itu, meskipun bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2026, kerajaan ketika ini masih lagi belum mendedahkan mengenai sebarang butiran persediaannya bagi acara tersebut.

Di samping itu, perlu diingatkan negara juga dijangka memasuki musim pilihan raya pada 2026 sekali gus menyulitkan penganjuran bagi temasya berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram