BERTUBUH kecil bukan alasan untuk atlet muda dari Sabah, Nurelfira Umaira Mohd Yusuf mencipta sensasi muncul juara dalam acara 80 meter (m) lari berpagar bawah 14 tahun (B-14) dalam kejohanan WA State Track & Field Championship 2024 di Australia baru-baru ini.
Nurelfira berketinggian 151 sentimeter (cm) tetapi berjaya melakukan larian pantas melakukan catatan rasmi 13.10 saat (s) jauh meninggalkan atlet luar negara yang rata-ratanya berketinggian 180 cm ke atas.
Bukan hanya acara 80 meter, Nurelfira juga cemerlang dalam acara 200m lari berpagar dengan catatan 29.93s untuk berkongsi kedudukan kedua bersama atlet tuan rumah, Aleeah Pike selepas mencatat masa yang sama.
Gurunya yang juga merangkap sebagai jurulatihnya, Karim Batjo berkongsi bahawa acara 200m itu apabila ia adalah kali pertama Nurelfira atau mesra dengan sapaan Fira mengambil bahagian dalam acara berkenaan dan sudah mampu meraih pingat perak.
"Acara 200 pagar itu kali pertama Fira sertai acara itu kerana sekolah rendah ada 80m lari berpagar sahaja. Pegawai KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) minta atlet ambil dua acara. Jadi 200m itu sebagai acara sampingan sahaja.
"Walaupun pertama kali, dia (Nurelfira) memang boleh lawan. Bayangkan sahaja, tinggi pelari Australia kebanyakannya 180cm dan Fira pula 151cm," katanya kepada Majoriti pada Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Larian deras atlet cilik Sabah gegarkan bumi Australia
@majoritiofficial Power awak dik. Bukan senang nak lari lawan orang luar dengan perbezaan daripada saiz badan, tinggi semua tu. #majoriti #beritaditiktok #trendingnewsmalaysia #mssm #atletcilik #athleticswest #pelajarsekolah #lariberpagar
♬ original sound - Majoriti Official
Video pelajar dari Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih Tawau, Sabah itu menjadi tular di Facebook sehingga ramai memberinya pujian dan tertanya-tanya keperibadian atlet muda Negeri Di Bawah Bayu itu.
Menurut Karim, 48, pemenang pingat emas acara 80m lari berpagar di Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Paroi, Negeri Sembilan 2023 itu mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak suka kekalahan.
"Pendapat saya Fira ini budak yang fighter. Bayangkan dengan lawan yang tinggi dan suasana baru, dia dapat atasi. Dia sangat berani. Bila dia masuk trek, dia cakap 'cikgu saya akan bawa balik pingat'. Dalam hati saya tak berani nak cakap apa-apa.
"Dalam hati saya sebagai manusia biasa tengok orang kecil lawan lagi besar, memang tak yakin. Dengan peha mereka cantik, memang psikologi kita terus jadi down.
"Masa dekat MSSM sabah, sebelum bertanding final, dia cakap 'cikgu saya akan pecahkan rekod'. Saya yang tidak senang duduk dengar begitu. Nurelfira ini susah terima kekalahan. Kalau dia kalah, memang dia frust gila," tambahnya.
Nurelfira (tengah) bersama atlet dari Australia.
Bercakap mengenai sikap ketika sesi persekolahan pula, cikgu Matematik dan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan itu pula berkongsi bahawa Nurelfira seorang yang pendiam, fokus belajar dan sentiasa memberikan kehadiran 100 peratus.
Sesi latihan apatah lagi, kata guru kelahiran Tawau itu yang turut mengagumi ketekunan Nurelfira setiap kali latihan yang akan memberi sepenuh jiwa raga untuk sesi latihannya bagi menambah baik mutu lariannya.
Dengan prestasi Nurelfira, atlet muda itu sememangnya menerima tawaran untuk menjalani program atlet di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) namun kekangan keluarga membuatkan dia terlepas peluang berkenaan.
BACA LAGI: Pakai jersi MU, ‘ubi muda’ Selangor dikecam tak hormat kelab sendiri
Nurelfira (tengah) bersama guru dan merangkap jurulatihnya, Karim.
"Sebenarnya Fira berada di bawah program latihan Tawau, di bawah Majlis Sukan negeri Sabah. Kami banyak kerjasama dengan jurulatih kebangsaan, Fira nak masuk sekolah sukan tapi ada kekangan keluarga.
"Lepas bincang, Fira tidak ke sekolah sukan. Jurulatih dan cikgu di Tawau kami akan bantu Fira untuk jadi lebih baik," katanya yang mengharapkan agar Nurelfira akan mencipta nama di Sukan Malaysia (Sukma), Sukan Sea dan acara lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram