PADA setiap temasya dan kejohanan sukan utama, antara wira yang tidak didendang di sebalik kejayaan dan perjuangan para atlet adalah pasukan perubatan dan sains sukan.
Doktor, ahli fisioterapi, pakar sains sukan, tukang urut dan pakar pemakanan antara watak penting yang sentiasa memastikan kesemua atlet berada pada tahap optimum untuk meneruskan perjuangan ketika tiba saat dinanti-nantikan setelah sekian lama melakukan persiapan.
Dalam pada itu, berkongsikan pengalaman sepanjang bergelar pakar perubatan sukan di Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berkata, untuk merawat atlet adalah tugasan yang berat dan mencabar.
"Secara jujurnya, memang tanggungjawab Doktor ISN untuk merawat atlet negara adalah tugasan yang berat dan mencabar.
"Tekanan memang ada untuk memastikan atlet dirawat dengan baik seterusnya dapat mencapai prestasi asal mereka," katanya kepada Majoriti.
Dr Jasmiza turut berkongsikan antara tugas utama sebagai pakar perubatan sukan. — PFAM
Menurutnya lagi, tugas utama sebagai pakar perubatan sukan adalah untuk memastikan kecederaan atlet diuruskan dengan baik.
"Di sini saya sebagai pakar perubatan sukan, tugas utama kami untuk memastikan kecederaan atlet diuruskan dengan baik daripada awal hingga ke podium," jelasnya.
Ketika ditanya mengenai panduan untuk individu yang berminat bekerja di ISN, Dr Jasmiza yang berusia 41 tahun itu berkata, memiliki latar belakang sebagai atlet adalah satu kelebihan.
"Sebenarnya mungkin saya bernasib baik untuk dapat kerja di ISN. Tetapi background sebagai ahli sukan mungkin akan banyak membantu sekiranya anda dipanggil interview.
"Saya pernah menjadi pemain ragbi kebangsaan, itu mungkin sedikit sebanyak memberi kelebihan untuk saya lebih faham dengan jiwa atlet yang dirawat," jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, masyarakat kini sudah mulai sedar mengenai kepentingan bersukan namun terdapat segelintir individu yang tidak mengikuti cara betul ketika bersenam.
"Bagi saya, secara positifnya, budaya sukan mulai tersemai di kalangan masyarakat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Kesedaran untuk bersukan ini sangat meluas dalam pelbagai lapisan masyarakat. Benar, disebalik keghairahan ini, kita seharusnya tidak mengambil mudah untuk tidak melakukan regangan sempurna dan perlu mendapatkan rehat yang cukup sebelum dan selepas bersukan.
"Pada pendapat saya, bersukan pada waktu malam bukanlah suatu isu kalau individu tersebut dapat rehat secukupnya sebelum aktiviti sukan, beraktiviti secara berkadaran dan bukanlah intensiti tinggi.
"Namun perlulah melakukan activation, regangan secukupnya dan memastikan hidrasi serta pemakanan yang optimum," katanya.
Dr Jasmiza berkongsikan pengalamannya sepanjang 15 tahun berkhidmat bersama ISN. — PFAM
Di samping itu, Dr Jasmiza turut mendedahkan bahawa sepanjang 15 tahun di ISN, dia sudah melalui banyak pengalaman dan dugaan.
"Terlalu banyak pengalaman dan dugaan spanjang 15 tahun di ISN. Paling tidak lupa, sewaktu menjadi team Doktor pasukan bola sepak kebangsaan di Sea Games 2011, bas kami dikepung penyokong pihak lawan.
"Selepas perlawanan, kami tidak dapat keluar dan terpaksa menggunakan kereta kebal.
"Bagi saya, ia adalah satu cabaran yang sangat besar untuk pasukan perubatan saya di ISN. Ini satu tanggungjawab yang besar.
"Saya amat terharu dan berbangga untuk menjadi pasukan perubatan sukan ISN. Kami bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan atlet negara dalam keadaan yang cergas untuk beraksi di lapangan," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram