APABILA bulan Ramadan menjelma, pasti banyak ilmu cuba diteroka seluruh umat Islam sebagai salah satu cara untuk menambah pengetahuan berkaitan perihal keagamaan di samping menjawab kemusykilan tentang isu-isu tertentu.
Timbul juga pelbagai persoalan yang bermain di minda masyarakat soal ibadah yang dibuat kerana mahu memperoleh amalan yang diterima di sisi ALLAH.
Antara persoalan yang menjadi kemusykilan bagi sesetengah wanita adalah mengenai hukum menunaikan ibadah berpuasa sekiranya tidak mandi wajib selepas haid kering.
Bercakap soal itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, puasa yang ditunaikan seseorang sah meskipun belum mandi wajib.
"Katakanlah seseorang wanita sudah kering haid pukul 6 pagi iaitu selepas dia bersahur dan sudah berniat untuk berpuasa, jadi puasanya sah.
"Tetapi kalau nak solat subuh perlulah mandi wajib dahulu," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Diam-diam mematikan, ketahui 5 jenis penyakit silent killer boleh terjadi kepada anda
Seseorang wanita yang belum mandi wajib sah jika berpuasa selepas putus haid.
BACA LAGI: 'Kejarlah pahala seawal mungkin', ketahui kelebihan 10 malam pertama Ramadan dan ganjaran tarawih
Ini kerana menurutnya, mandi hadas tidak termasuk dalam syarat sah puasa.
Syarat sah puasa ialah Islam, baligh, suci daripada haid dan nifas serta dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.
Mohamad Shukri turut memberi pesanan untuk umat Islam agar tidak sengaja melengah-lengahkan mandi wajib.
"Sebaiknya disegerakan, tak boleh lambat-lambatkan.
"Tiada faedah pun nak lewatkan mandi wajib kerana apabila kita sudah berbuat demikian, maksudnya kita sudah mengangkat hadas besar dan kerohanian kita bersih," katanya.
Lagipun, jika individu sengaja melambat-lambatkan mandi hadas sehingga tidak menunaikan solat, sedangkan solat itu wajib, maka dia berdosa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram