BEK tengah muda, Raja Imran Shah kini mula mendapatkan rentak dalam kariernya apabila semakin kerap diberi peluang dalam skuad The Bos Gaurus (TBG) musim lalu.
Membuat 19 penampilan dalam kesemua kejohanan dengan 13 daripadanya merupakan penampilan dalam kesebelasan utama memberi gambaran bahawa dia akan memainkan peranan penting di bawah kendalian Yusri Che Lah.
Meskipun kehadirannya belum cukup untuk mengukuhkan benteng pertahanan pasukan, struktur fizikalnya sudah menjadi aset utama dalam menaikkan lagi namanya.
Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong bola sepak tanah air, terutamanya dalam kalangan pengikut Perak FC mula mengangkatnya sebagai antara permata pasukan.
Malah, baru-baru ini, reputasi Raja Imran sekali lagi melonjak selepas satu temu bual bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendedahkan bahawa pemain itu mempunyai perancangan rapi bagi masa depannya.
BACA LAGI: Ingin tinggalkan Perak, 3 pasukan termasuk 2 kelab Lembah Klang dalam senarai pilihan bek kental
Menurutnya, dia yang kini masih melanjutkan pelajaran dalam jurusan ijazah undang-undang di salah sebuah institut pengajian awam swasta beranggapan pendidikan tidak boleh dipandang remeh.
"Bagi saya, pendidikan ini penting, tidak kiralah bagi pemain bola atau sesiapa sahaja. Tetapi, ia merupakan pilihan boleh diambil selepas karier bola sepak saya tamat.
"Walaupun bola sepak adalah cita-cita dan impian besar bagi saya, tetapi untuk satu hari nanti, jika ada peluang menjadi seorang peguam, itu akan jadi matlamat lebih besar," katanya.
Sebelum menyertai skuad TBG, Raja Imran Shah pernah mewakili beberapa pasukan lain seperti Selangor FC dan PKNS FC, namun hanya kerap diletakkan dalam skuad simpanan.
Kini, dengan usianya semakin hampir mencecah kemuncaknya, terdapat kemungkinan pertahanan tersebut akan memainkan peranan lebih penting musim depan.
BACA LAGI: Selepas Raja Imran Shah, 2 nama bakal jadi pelengkap benteng Perak FC
Raja Imran Shah pernah beraksi bersama skuad simpanan Selangor FC. — Instagram/Raja Imran Shah
Jelasnya, terdapat beberapa faktor membuatkannya memilih untuk menceburi bidang terbabit dengan peluang meluas selepas tamatnya karier bola sepak merupakan salah satu daripadanya.
"Ijazah undang-undang boleh memberikan saya peluang untuk satu hari nanti masuk lebih banyak industri dan ini adalah salah satu sebab.
"Ibu saya juga dahulu lepasan ijazah undang-undang dan secara jujurnya, tiada pengaruh daripadanya. Namun, saya rasa untuk menghabiskan pelajaran amat penting," katanya.
Sebelum ini, pemain tinggi lampai berkenaan pernah dikaitkan dengan perpindahan secara pinjaman ke PDRM FC bagi memberikannya peluang dengan kerap.
Bagaimanapun, dengan kelibatnya masih kelihatan di pusat latihan Perak FC, terdapat kemungkinan Raja Imran akan kekal menjadi watak utama skuad TBG. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram