Selepas Raja Imran Shah, 2 nama bakal jadi pelengkap benteng Perak FC


  • Podium
  • Isnin, 21 Nov 2022

Shivan Pillay menyekat kemaraan pemain Johor Darul Takzim, Akhyar Rashid ketika aksi saingan Liga Super musim ini. — Bernama

SELEPAS mengumumkan Raja Imran Shah sebagai pertahanan pasukan Perak FC, The Bos Gaurus dijangka melengkapkan kubu pasukan menerusi penyertaan dua lagi pemain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perak FC dipercayai dalam usaha untuk memikat dua lagi pemain dari Melaka United FC (MUFC) dan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) yang bakal memperkuatkan lagi benteng pasukan berkenaan.

Antara nama yang meniti di bibir penyokong ialah Ahmad Haziq Puad (MUFC) dan Shivan Pillay (PJ City FC).

"Dah cakap dah betul (tekaan pemain PJ City FC, Sunil Chandran sertai Perak), next Ahmad Haziq Puad dan Shivan Pillay," kata Amirsuffi di Facebook Perak Football Club.

309665106_541573231175890_1825295727881470819_n

Ahmad Haziq ketika beraksi bersama pasukan MUFC. — Facebook

Berketinggian 1.8 meter, Ahmad Haziq merupakan antara watak utama dalam pasukan Hang Tuah sepanjang aksi musim ini di Liga Super sebelum pasukan itu terhumban ke kancah saingan Liga M3 berikutan masalah kewangan.

Pemain berusia 29 tahun itu mungkin akan mengikut jejak tonggak Harimau Melaka, Mohd Syukri Baharun yang turut disebut-sebut bakal menyertai Perak FC pada musim depan.

Sementara itu, Shivan Pillay juga mungkin menjadi orang harapan dalam skuad Seladang FC berikutan peranannya dalam The Phoenix pada musim ini.

Pemain muda berusia 21 tahun itu kerap diturunkan dalam kesebelasan utama skuad PJ City FC yang mempertaruhkan 100 peratus pemain lokal dalam aksi Liga Super dan Piala FA musim ini.

Dengan kemasukan ketiga-tiga pemain itu bakal memperkuatkan pertahanan The Bos Gaurus bersama tonggak import, Sunday Afolabi selepas bintang kelahiran Nigeria itu bersetuju untuk menyambung kontrak selama dua tahun lagi bersama Perak FC.

Terdahulu, Perak FC mengumumkan bekas pemain PJ City FC, Sunil Chandran sebagai salah seorang penggempur di bahagian serangan.

Antara pemain yang sudah diumumkan menjadi sebahagian daripada skuad Seladang ialah dua pemain muda, Harith Naem dan Ilham Aqil, serta penjaga gol Melaka FC, Bryan See. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram