FAKTOR kurang mendapat minit permainan yang banyak mendorong pertahanan Perak FC, Raja Imran Shah Raja Amin untuk berhijrah ke pasukan lain menjelang musim 2024/2025 ini.
Memetik laporan dari Stadium Astro, Kuala Lumpur (KL) City, PDRM dan Negeri Sembilan dikatakan antara pasukan berminat mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu secara pinjaman.
Produk Akademi PKNS FC itu tiba di Perak FC pada awal musim 2023 dengan menandatangani kontrak selama dua tahun namun nasib tidak menyebelahinya apabila kurang mendapat tempat dalam skuad The Bos Gaurus (TBG).
Pemain tinggi lampai itu hanya merekodkan 19 perlawanan domestik bersama skuad Seladang dan 17 daripadanya adalah ketika aksi Liga Super.
Raja Imran bagaimanapun tidak menyalahkan barisan kejurulatihan yang diketuai Yusri Che Lah dan menganggap pengendali itu ada rancangan tersendiri untuk skuad TBG.
BACA LAGI: Pernah dedah mahu buru 'striker' tajam, import Colombia bakal gegarkan Perak FC
Raja Imran menyertai Perak pada awal tahun lepas. — Facebook/PerakFC
BACA LAGI: Dilabel 'low class', Bobie perjelas jersi baharu Perak dibuat hasil pandangan fans TBG
“Saya tak banyak bermain di bawah jurulatih Yusri, mungkin coach Yusri ada rancangan sendiri untuk tahun ini. Sebagai pemain profesional, saya kena terima dan mungkin cari rezeki di tempat lain. Sekarang saya masih dalam fasa perbincangan dengan beberapa pasukan.
“Bagi saya, paling mustahak adalah minit permainan, kedua adalah untuk dapatkam konsistensi permainan. Minit permainan penting dan konsistensi membezakan seorang pemain yang bagus dengan biasa. Itu adalah sesuatu sasaran saya untuk tahun ini.
“Sebagai bek tengah, saya boleh tawarkan mungkin ketinggian, defending ability dan juga sikap kepimpinan walaupun usia saya masih muda,” katanya.
Dengan kehadiran pemain pertahanan baharu seperti bek kiri, Tommy Mawat Bada dan Ariff Ar-Rasyid sebagai bek tengah, peluang untuk Raja Imran menembusi kesebelasan utama semakin nipis.
Selain dua pemain pertahanan itu, Perak secara rasminya membawa masuk kapten Kyrgyzstan Bawah 23 Tahun, Adilet Kanybekov Ramadhan Hamid (penjaga gol) dan pemain tengah menyerang, Nur Azfar Fikri Azhar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram