Pemain akademi Jerman dipanggil Juan Torres tapi fans idam permata Perak dapat peluang ke skuad B-23


  • Podium
  • Selasa, 12 Mac 2024

Annil ketika menyertai skuad bawah 19 tahun kelab Jerman, Sandhausen. — Instagram/Annil

MENJELANG kejohanan Piala Asia Bawah 23 (B-23) tahun di Qatar pada pada 15 April hingga 3 Mei 2024 ini, Juan Torres Garrido selaku pengendali pasukan Harimau Malaya B-23 memanggil seramai 17 orang pemain.

Menerusi satu kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain Harimau Malaya B-23 yang dipanggil akan mula melapor diri pada sesi pertama latihan yang bermula pada Ahad, 17 Mac 2024 ini.

Dalam senarai 17 tonggak berkenaan, dua daripadanya sedang berkelana di luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin bersama kelab divisyen ketiga, Yokohama SCC dan Annil Vigneswaran, yang merupakan pemain akademi Waldhof Mannheim di Jerman.

Luqman Hakim yang sudah melakukan debut memukau bersama Yokohama dan diletakkan dalam kesebelasan utama dalam pertembungan dengan Matsumoto FC baru-baru ini pastinya mempunyai motivasi tinggi untuk memberi persembahan cemerlang bersama skuad kebangsaan.

Manakala, Annil pula pernah memberi kejutan apabila menandatangani kontrak setahun dengan Waldhof dan pemain berusia 21 tahun itu juga pernah bermain untuk pelbagai pasukan liga bawahan di Belanda.

BACA LAGI: Pilih setia di Kedah tapi isu gaji boleh buat Hidalgo cari angin baharu musim depan

luqmam

Luqman Hakim ketika penampilan sulung bersama Yokohama SCC pada perlawanan J-League Cup 2024 menentang kelab divisyen 2, Mito Hollyhock.

Walaupun dengan kehadiran dua pemain berpangkalan di luar negara itu, penyokong domestik mempunyai pandangan lain, yang mana mencadangkan untuk memanggil seorang permata dari Perak FC iaitu Alif Zikri.

"Baru hari itu satu page Perak puji Alif Zikri nampak bagus kat latihan dan rasa lagi padu dari Luca (Milunovic) import penyerang Perak," kata penyokong skuad kebangsaan, Sahriman.

"Alif Zikri, 22 tahun bermain di posisi serangan. Mempunyai fizikal yang cukup sesuai sebagai seorang pemain penyerang. Sepanjang tiga hari di kem latihan pra musim ini nampak kualiti yang ada pada Alif Zikri boleh pergi jauh. Aset kena jaga ini," bagi penyokong, Tpeng.

Namun, untuk membawa masuk pemain The Bos Gaurus (TBG) itu dalam masa terdekat ini adalah mustahil kerana rekod permainannya pada musim lepas jelas tidak meyakinkan untuk menembusi panggilan Harimau Malaya B-23.

BACA LAGI: Saham tengah naik, import baharu Kedah boleh 'padamkan' kenangan indah Hidalgo

Untul rekod, Alif Zikri hanya mencetak satu gol dan satu hantaran bantuan dalam 12 perlawanan Liga Super dia diturunkan dan selebihnya, pemain muda itu hanya beraksi untuk skuad simpanan Perak.

Selain itu, seramai 11 pemain muda yang kini bersama sesi latihan skuad senior kebangsaan yang tidak terpilih ke skuad akhir bagi bertemu Oman akan dilepaskan ke skuad B-23 ini.

Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, Ruventhiran, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Nooa Laine dari Selangor.

Turut berada dalam senarai ialah dua pemain Terengganu iaitu Safwan Mazlan dan Muhammad Azam Azmi Murad serta Muhammad Haqimi Azim Rosli (KL City), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Penang) dan T. Saravanan (Sri Pahang). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram