PERSOALAN mengenai destinasi pemain tengah negara, Brendan Gan masih belum dijawab meskipun kontraknya bersama Selangor FC sudah tamat pada Februari lalu.
Dia yang berkali-kali dikaitkan dengan perpindahan ke Sri Pahang FC seakan-akan sukar mendapatkan kata putus kerana isu pengurusan.
Selain itu, usianya yang kini sudah mencecah 35 tahun pasti sukar untuk menarik mana-mana kelab Liga Super yang mahu melahirkan lebih ramai pelapis.
Tetapi, baru-baru ini, Brendan Gan dikatakan berada dalam radar finalis Piala FA 2023, Kuala Lumpur (KL) City FC yang pastinya sukar menolak peluang mendapatkan khidmatnya.
"Brendan Gan kini memiliki dua tawaran. Adakah dia akan memilih Pahang atau Kuala Lumpur?" tulis pemerhati bola sepak tempatan, T Avineshwaran.
BACA LAGI: ‘Tak kisah’ dengan Zainal Abidin, Nwakaeme anggap Matias Conti gandingan terbaik bersama Pahang
Brendan Gan masih memiliki kualiti diperlukan kelab-kelab Liga Super musim depan.
BACA LAGI: Pilihan paling ideal, patutlah Brendan Gan mahu ke Sri Pahang berbanding Kedah dan Perak
Perpindahannya ke kelab Lembah Klang berkenaan boleh dianggap cukup munasabah memandangkan skuad kendalian Nenad Bacina terbabit memerlukan seorang pemain tengah berkualiti.
Meskipun sudah mempunyai Paulo Josue, kebolehan Brendan Gan beraksi dalam pelbagai peranan membuatkannya amat sesuai untuk diserap ke dalam skuad Warga Kota.
Selain dikaitkan dengan kedua-dua kelab berkenaan, bekas kapten Perak FC terbabit juga dikatakan berminat untuk melebarkan sayap kariernya ke Australia.
Di samping itu, terdapat juga khabar angin bahawa Brendan Gan bersedia untuk menamatkan kariernya melihat kepada usia dan tahap kecergasannya beberapa musim kebelakangan ini.
Kini, pemain terbabit sedang bersama skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada Mac dengan dia mengatakan keputusan mengenai masa depannya akan dibuat selepas itu.
Brendan Gan sebelum ini menjadi watak utama buat Selangor FC selama empat musim dengan kehadirannya membantu kelab itu melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2022 serta muncul naib juara Liga Super 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram