Lepas sambar Manuel Ott, TFC calon terbaik ‘sailang’ Brendan Gan dari Pahang saat-saat akhir


  • Podium
  • Isnin, 11 Mac 2024

Brendan Gan kini tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan setelah dilepaskan skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

AKTIVITI perpindahan Terengganu FC terus giat berlangsung memasuki pertengahan jendela perpindahan setelah mereka mengumumkan bekas kapten, Manuel Ott.

Dia yang musim lalu beraksi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC memilih untuk kembali ke pangkuan kelab Pantai Timur itu setelah menjadi watak penting bagi mereka pada 2022.

Pengumuman mengenai kepulangannya mencetuskan kejutan buat penyokong skuad Sang Penyu yang seakan-akan tidak menyangka perpindahan itu tidak akan dimeterai.

Ini selepas kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Mohd Sabri Abas pada Februari lalu yang menegaskan pemain kebangsaan Filipina tersebut tidak berada dalam radar pasukan.

BACA LAGI: Andai bintang import Indonesia ke TFC, 3 kelab berpotensi sambar Manuel Ott

2043101

Manuel Ott hanya beraksi selama semusim bersama skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Malah, dalam pendedahan itu, dia turut menepis khabar angin bahawa seorang lagi bintang akan menyertai skuad Sang Penyu iaitu Brendan Gan.

Khabar angin tersebut timbul selepas pemain berdarah kacukan Australia itu dilepaskan Selangor FC, sekali gus menyaksikannya berstatus ejen bebas.

Jadi, sekiranya perpindahan Manuel Ott dapat dimeterai, tiada kemungkinan Terengganu FC akan cuba mendapatkan pemain tengah kebangsaan berkenaan.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, Brendan Gan beberapa kali dikatakan bakal menyertai Sri Pahang FC yang memerlukan seorang bintang di posisinya.

BACA LAGI: Tidak lagi bersama Sang Kenari, peluang Terengganu sambar Manuel Ott makin cerah

2585557

Kepulangan Manuel Ott ke pangkuan skuad Sang Penyu diraikan ramai pihak. Facebook/Terengganu FC

Meskipun sudah memiliki Nor Azam Azih sebagai tonggak di bahagian tengah, kualiti dimiliki pemain berusia 35 tahun tersebut pasti sukar ditolak skuad Tok Gajah.

Karakternya sebagai seorang pemimpin di atas padang juga amat diperlukan dalam misi mereka memburu slot dalam kedudukan tiga teratas Liga Super 2024/25.

Bagaimanapun, isu kewangan sedikit sebanyak menyekat harapan mereka mendapatkan Brendan Gan dengan laporan media mengatakan permintaan gaji tinggi merumitkan proses perbincangan.

Tetapi, bagi Terengganu FC pula, mereka pasti tidak akan berdepan masalah terbabit kerana misi untuk sekali lagi layak ke pentas Asia lebih penting bagi skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.

Kemasukan Brendan Gan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan menyaksikan bahagian tengah pasukan semakin mantap, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Manuel Ott dan Akram Mahinan di posisi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram