Suhaimi mahu saingi Syihan, rebut posisi 'goalie' nombor 1 negara


  • Podium
  • Selasa, 12 Mac 2024

Sebahagian sesi latihan Harimau Malaya yang pastinya mahu mendapatkan keputusan positif semasa berdepan Oman. — Facebook/FAM

PENJAGA gol Terengganu FC, Suhaimi Husin berazam memberikan yang terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya aksi berdepan Oman nanti.

Malah, pemain berusia 29 tahun itu bersedia membuktikan kemampuannya dan meningkatkan prestasi agar Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memberi peluang kepadanya untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan tertutup berdepan Nepal, Jumaat ini.

Pemain berketinggian 1.84 meter itu merupakan salah seorang daripada 33 pemain yang dipilih untuk kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 menentang Oman pada 22 Mac di Muscat dan 26 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Suhaimi, Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman merupakan penjaga gol yang telah memulakan latihan rapi di bawah bimbingan jurulatih penjaga gol, Cho Jun-ho untuk perlawanan akan datang, manakala penjaga gol utama negara, Ahmad Syihan Hazmi hanya akan tiba di kem kebangsaan pada Jumaat nanti.

Walaupun waktu latihan telah ditukar dari petang ke malam untuk menghormati pemain yang akan berpuasa, Suhaimi berkata, dia tidak akan mengubah pendekatannya dalam latihan.

“Ini bukan satu cabaran kerana kami sentiasa berlatih walaupun hampir setiap musim bulan puasa.

“Ketika saya bermain untuk Terengganu musim lalu, kami bermain dan berlatih, jadi ia adalah perkara yang biasa kami lakukan. Ia tidak akan menjejaskan persembahan kami," katanya.

BACA LAGI: Menang anugerah gol tercantik Piala Asia, Faisal Halim akui tertekan aksi berdepan Oman

Suhaimi Husin. - FAM

Suhaimi berharap agar terpilih menjadi kesebelasan utama Harimau Malaya aksi persahabatan berdepan Nepal nanti. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Pilihan paling ideal, patutlah Brendan Gan mahu ke Sri Pahang berbanding Kedah dan Perak

Suhaimi turut berharap agar dapat mewajarkan seruan untuk menjalankan tugas negara.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih Pan-gon kerana ini merupakan kali kedua saya mendapat panggilan untuk skuad kebangsaan.

"Sejujurnya saya masih lagi baru dalam kem kebangsaan dan masih banyak lagi yang perlu belajar.

“Adalah menjadi hasrat mana-mana penjaga gol untuk menjadi nombor satu dalam mana-mana pasukan tetapi semuanya bergantung kepada jurulatih dan rancangan yang telah dibincangkan.

“Saya tahu Syihan adalah penjaga gol nombor satu negara sekarang dan dia layak mendapat tempat itu berkat prestasinya selama ini. Sama ada Syihan atau saya, kami cuma perlu bersedia dan tunjukkan kemampuan diri.

“Saya sudah berlatih dengan Terengganu hampir sebulan dan saya boleh katakan, dari segi kecergasan perlawanan, saya berada pada tahap 50 peratus tetapi ia akan meningkat," kongsinya.

Untuk rekod, Suhaimi merupakan salah seorang penjaga gol yang menyerlah dalam Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Suhaimi sudah beraksi sebanyak 26 perlawanan dalam semua pertandingan domestik dan melakukan 69 saves. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram