PERSIAPAN buat skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia menjelang Piala Asia B-23 di Qatar pada April menyaksikan ia akan dilakukan dengan rapi.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu dijangka akan berdepan dengan beberapa perlawanan pemanas badan sebelum beradu tenaga dalam kejohanan yang diadakan pada 15 April hingga 3 Mei.
Memetik laporan Makan Bola, Harimau Muda memilih untuk mengadakan lima perlawanan persahabatan bagi memastikan persiapan berada pada tahap terbaik.
Mengikut perancangan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Harimau Muda akan menentang empat lawan berbeza dalam lima aksi yang akan diadakan bermula pada 22 Mac.
Setakat ini, hanya tiga negara telah mengesahkan akan turun bertemu Malaysia iaitu India, China serta Qatar.
Malaysia akan turun menentang India sebanyak dua kali iaitu pada 22 dan 25 Mac sebelum mengadakan satu perlawanan bersama-sama China serta Qatar pada April.
BACA LAGI: Misteri kekuatan Oman bersama jurulatih baharu buatkan HM perlu waspada
Harimau Muda akan mengharungi lima aksi pemanas badan sebelum ke Qatar. — FAM
BACA LAGI: Hanya 1 peratus halang Brendan Gan sertai Sri Pahang
Untuk melengkapkan senarai pihak lawan yang bakal diharungi, FAM kini giat mencari pasukan untuk menentang Malaysia ketika perlawanan persahabatan kelima dan terakhir sebelum Piala Asia B-23.
Namun begitu, masih belum dapat dipastikan negara mana yang akan menyertai India, China dan Qatar sebagai lawan Malaysia kelak.
Terdapat potensi salah sebuah negara iaitu China dan Qatar akan turun menentang Malaysia sebanyak dua kali seandainya FAM tidak berjaya menemukan pasukan keempat untuk menguji kekuatan mereka.
Seandainya semua telah disahkan, mungkin pada waktu itu FAM akan mengumumkan sekali gus mengenai butiran kesemua perlawanan persahabatan termasuklah lokasi ia diadakan.
Badan induk bola sepak negara itu juga akan mengumumkan di manakah lokasi kesemua perlawanan tersebut akan diadakan di Lembah Klang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram