Lepas singgah Buriram, admin TFC tenangkan ura-ura Dion Cools ke bumi Darul Iman


  • Podium
  • Isnin, 11 Mac 2024

Cools musim ini sudah beraksi sebanyak 27 perlawanan dengan menyumbang satu gol dan dua bantuan jaringan untuk Buriram. — Facebook/BuriramUnited

BARU setahun jagung berkelana di bumi Thailand, bek tengah kental pasukan kebangsaan, Dion Cools secara tiba-tiba dikaitkan akan menyertai Terengganu FC (TFC) bagi membantu skuad Peteh mengharungi saingan musim 2024/2025.

Nama pemain pertahanan Buriram United FC itu mula disebut akan sertai Terengganu apabila pemerhati sukan, Hafizal Hamad bersama Zulhelmi Zainal Azam menerusi segmen Keluar-Masuk Liga Malaysia membincangkan nama-nama pemain baharu yang ditandatangani Sang Penyu.

Meskipun Terengganu dilabel sebagai antara pasukan gergasi domestik namun perpindahan pemain warisan Belgium-Malaysia itu kurang mendapat persetujuan penyokong dek Cools masih menikmati musim terbaik bersama Buriram.

Pemain berusia 27 tahun itu berjaya membantu Buriram United meraih gelaran 'treble' pada tahun pertamanya bersama Buriram, selain turut kerap diturunkan dalam kesebelasan utama bagi setiap perlawanan.

Selepas hampir seminggu ura-ura bekas pemain kebangsaan B-19 Belgium itu menghantui penyokong tanah air, pihak skuad Sang Penyu akhirnya membuka mulut mengenai khabar angin Cools ke Terengganu.

BACA LAGI: TMJ yakinkan saya untuk beraksi buat Harimau Malaya — Dion Cools

Walaupun tidak menyebut nama Cools secara langsung namun menerusi ruangan komen di laman Facebook, admin Terengganu FC mengesahkan bahawa pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner tidak akan membawa masuk bek tengah itu.

"Maklumat tambahan: Berkenaan berita yang tersebar mengenai kelab ini ingin menandatangani salah seorang pemain Buriram United, ia adalah tidak benar. Sekian, terima kasih," tulisnya.

Penjelasan itu dibuat selepas Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) mengadakan lawatan kerja ke Buriram United yang bertujuan untuk membina perhubungan di antara kedua-dua kelab, selain membincangkan kerjasama yang dapat diwujudkan.

Kunjungan ke pasukan gergasi Thailand itu juga bertujuan bagi mendapatkan perkongsian dari Buriram United berkenaan pentadbiran kelab, pengurusan pemasaran dan perniagaan kelab serta konsep pembangunan bola sepak yang dijalankan oleh Buriram.

BACA LAGI: Kelihatan di samping 'adik King Myvi' di Terengganu, ramai ingat Dion Cools rupanya Manuel Ott

cools 2

Cools kini memikul tanggungjawab besar sebagai salah seorang pertahanan terbaik negara. — Facebook/FAM

"Ini adalah bukan kali pertama lawatan kerja seperti ini dilakukan oleh pengurusan ini. Jika di Malaysia, TFCSB juga pernah ke Johor Darul Ta'zim untuk lawatan kerja serta mendapatkan perkongsian untuk kemajuan kelab. Pengurusan kelab juga pernah ke BG Phatum FC sebelum ini juga dengan tujuan yang sama.

"Apa yang pasti, TFCSB akan terus menerus berusaha untuk meningkatkan lagi mutu pengurusan kelab dari setiap sudut agar Terengganu FC menjadi salah sebuah kelab yang serba lengkap dan boleh dijadikan contoh.

"Pihak Terengganu FC ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat pihak Buriram United FC atas segala kemudahan dan layanan yang telah diberikan kepada pihak Terengganu FC sepanjang berada di sana," jelas kenyataan pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan