MUSIM lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir melakar sejarah apabila hanya mencicirkan dua mata sepanjang 26 aksi Liga Super.
Prestasi memberangsangkan itu turut diteruskan dalam tiga pertandingan domestik yang lain sehingga menyaksikan mereka sekali lagi mencapai gelaran 'quadruple'.
Pencapaian tersebut boleh dikatakan berpunca daripada sentuhan pengendali, Esteban Solari yang tidak berdepan sebarang masalah untuk menyuntik falsafah bola sepaknya dalam skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, rekod itu seakan-akan kurang bermakna buat JDT yang lebih berharap kejayaan dapat direkodkan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
BACA LAGI: Solari, Leandro antara yang tinggalkan JDT
Solari memiliki kredibiliti tersendiri sebagai seorang jurulatih muda dengan pengalaman terhad. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Kegagalan untuk melepasi peringkat kumpulan menyaksikan jurulatih dari Argentina berkenaan digugurkan daripada jawatannya pada Disember lalu dengan posisinya itu diisi Hector Bidoglio.
Kini, Solari tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan dengan dia difahamkan sudah pulang ke Amerika Selatan sambil menunggu tawaran.
Penantian itu seakan-akan sudah hampir menemui titik noktahnya apabila media antarabangsa melaporkan pengendali terbabit berada dalam radar kelab Chile, Everton.
Berdasarkan laporan ADN, Solari akan menggantikan Paqui Meneghini memandangkan pasukan terbabit baru sahaja tersingkir daripada saingan Copa Sudamericana.
BACA LAGI: DNA Korea, Jepun bakal jadi pengganti Solari di JDT?
Everton de Vina memerlukan seorang pengendali berkualiti musim ini. — Facebook/Everton de Vina
Di negara berkenaan, pengendali berusia 43 tahun berkenaan lebih dikenali dengan status keluarganya berbanding kejayaannya di atas padang.
Dia yang merupakan adik kepada bekas pemain dan pengurus Real Madrid, Santiago Solari pasti akan disanjung ketibaannya oleh rata-rata penyokong Everton.
Selain pernah mengendalikan JDT, pengalaman Solari dalam bidang kejurulatihan masih terhad kerana hanya pernah terlibat dalam skuad muda Argentina.
Bagaimanapun, rekodnya sepanjang semusim bersama skuad Harimau Selatan sudah cukup untuk membuatkan Everton tertarik memberikannya peluang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram