Ramai salah faham lepas Harimau Selatan tayang nama baharu di JDT Direct MegaStore


  • Podium
  • Isnin, 11 Mac 2024

JDT Megastore akan memudahkan penyokong untuk membeli cenderahati rasmi kelab. — Facebook/JDT

JUARA Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) mengorak langkah baharu apabila secara rasminya melancarkan kedai cenderahati rasmi, JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.

Majlis gilang-gemilang itu dirasmikan oleh Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail apabila beliau turut dibawa mengeliling kedai yang akan menjadi tempat wajib disinggah jika berkunjung ke 'rumah' rasmi skuad Harimau Selatan.

Selain keterujaan pengunjung menyaksikan cenderahati rasmi kelab di JDT Megastore, mata penyokong Harimau Selatan rata-ratanya tertumpu dengan nama pada jersi yang dipamerkan di kedai berkenaan.

Nama pada baju merah biru Harimau Selatan yang bernombor 47 tersebut ditulis 'Valeriano' dan ia diletakkan bersebelah dengan jersi berwarna putih Matt Davies di JDT Megastore pada Jumaat lepas.

Jersi bernombor 47 bernama Valeriano itu menjadi buat mulut penyokong sehingga ada yang membuat spekulasi bahawa pemilik baju tersebut merupakan pemain baharu Harimau Selatan untuk saingan baharu ini.

Namun, selepas diselidik lebih mendalam, pemilik nama pada jersi berkenaan ialah Valeriano Rodriguez iaitu pengurus teknikal JDT Racing Team yang akan bekerjasama dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

BACA LAGI: Enjin mula panas, ramai harap Hafizh Syahrin tampil serasi bersama JDT Racing Team

WhatsApp Image 2024-03-11 at 11.35.06

Jersi bernombor 47 yang menimbulkan salah faham dalam kalangan penyokong JDT.

BACA LAGI: Antara Seladang dan Tok Gajah, mana satu pilihan ideal Shahrel Fikri

Rodriguez merupakan watak penting dalam pembentukan pasukan JDT Racing team dan dia juga yang akan membantu Hafizh Syahrin membuat persiapan untuk Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 kelak.

Salah faham tersebut berlaku selepas JDT pernah berkongsi akan membawa masuk penjaga gol baharu untuk melengkapkan pasukan 2024/2025, namun identiti pemain itu masih belum diketahui sehingga kini.

Dalam pada itu, selain majlis pelancaran JDT Direct Megastore, kelab Selatan tanah air itu juga tidak melepaskan peluang untuk menghargai penyokong dengan mengadakan JDT Fan Fest 2024 di pekarangan stadium.

Peminat yang menghadiri karnival itu tidak melepaskan peluang keemasan bertemu pemain JDT seperti Jordi Amat, Arif Aiman ​​Hanapi, Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Nazmi Faiz Mansor, Jalil Elias dan Francisco Geraldes.

Selain itu, terdapat acara sampingan lain yang diadakan semasa karnival Jumaat termasuk zoo peliharaan, grafiti, inflatable games, subsoccer, sepakan penalti, e-basikal, hoki ais, pameran sukan permotoran dan simulator perlumbaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram