BERITA mengenai pemergian beberapa tonggak utama Johor Darul Takzim (JDT) yang meninggalkan kelab tersebut musim depan mencuri tumpuan penyokong tanah air.
Bukan sahaja dikejutkan dengan pemergian enam pemain malah Harimau Selatan juga terpaksa mengucap selamat tinggal kepada Ketua Jurulatih, Esteban Solari.
Berikutan pengumuman kelab tersebut, difahamkan ia sebagai langkah penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab itu.
Seperti yang diketahui, sepanjang Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengambil alih JDT, beliau mendatangkan beberapa pengendali yang berbeza.
Dalam pada itu, JDT antara kelab yang dilihat gemar menggunakan khidmat jurulatih Amerika Latin iaitu Mario Gomez, Luciano Figueroa dan Esteban Solari yang berasal dari Argentina serta Benjamin Mora dari Mexico.
Solari antara yang meninggalkan Harimau Selatan musim depan. — Facebook/JDT
Susulan daripada kehilangan Solari yang juga merupakan pengendali kelahiran Argentina itu, berdasarkan pandangan di ruangan komen, ramai beranggapan JDT akan cuba membawa masuk seseorang pengendali dari Korea Selatan dan Jepun.
Ini kerana sejarah lalu yang menyaksikan pengendali dari negara itu mempunyai rekod cukup baik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Jika melihat kepada persaingan JDT di peringkat Asia, pastinya untuk menewaskan kelab besar seperti Korea Selatan dan Jepun amat sukar.
Untuk rekod terbaru, dalam saingan Kumpulan I Piala ACL 2023, JDT hanya menghuni tangga ketiga dengan mengutip sembilan mata selepas enam perlawanan dengan meraih tiga kemenangan dan tiga seri.
Sekiranya Harimau Selatan berjaya membawa masuk antara pengendali Korea dan Jepun, pastinya peminat tanah air akan menyaksikan corak permainan yang berbeza bakal ditampilkan oleh JDT musim depan.
Malah, kehadiran pengendali daripada negara kuasa besar bola sepak Asia itu dilihat mampu untuk menghapus badi JDT setiap kali berdepan kelab dari Korea Selatan dan Jepun di saingan ACL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram