Solari, Leandro antara yang tinggalkan JDT


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

JDT sebelum ini mengumumkan bahawa mereka akan mengurangkan kos operasi selepas bertahun-tahun mengeluarkan modal yang besar.

KANCAH bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita mengenai pemergian beberapa tonggak utama Johor Darul Takzim (JDT) yang meninggalkan kelab tersebut musim depan.

Lebih mengejutkan, Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari antara individu yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu.

Perkara itu disahkan benar menerusi satu perkongsian di laman media sosial rasmi, JOHOR Southern Tigers yang mengucapkan terima kasih kepada beberapa individu penting yang sudah menabur bakti bersama kelab tersebut.

"Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada barisan kejurulatihan, pemain dan kakitangan yang akan meninggalkan kelab.

"Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30 hingga 40 peratus disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab.

WhatsApp Image 2023-12-28 at 18.03.07

Beberapa pemain dan staf kejurulatihan JDT meninggalkan pasukan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.

"Antara yang meninggalkan kelab termasuk Ketua Jurulatih, Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.

"Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.

"JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli. Luaskan Kuasamu Johor," katanya di Instagram.

Pastinya, kehilangan beberapa tonggak penting JDT itu dilihat meninggalkan kesan yang mendalam kepada peminat setia Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram