Misi kembali ke puncak antara sentimen peribadi Adam Nor Azlin pilih Pahang


  • Podium
  • Ahad, 10 Mac 2024

Adam Nor Azlin tekad mahu memberikan usaha terbaik untuk memburu tempat dalam kesebelasan utama Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC

SELEPAS beraksi untuk enam musim bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Adam Nor Azlin akhirnya memilih untuk tidak menyambung kontraknya pada awal jendela perpindahan lalu.

Pemain pertahanan yang kerap memanaskan bangku simpanan itu mengambil keputusan berkenaan dalam misi meraih lebih banyak minit permainan musim depan.

Jadi, tidak hairanlah apabila dia mengambil keputusan menyertai Sri Pahang FC memandangkan kelab berkenaan mudah dibolosi sepanjang saingan Liga Super 2023.

Bagaimanapun, sesetengah pihak mempersoalkan langkahnya itu memandangkan skuad Tok Gajah sudah memiliki dua bek tengah utama, Fadhli Shas dan Stefano Brundo.

Ramai beranggapan langkah terbaik boleh diambil Adam Nor adalah dengan menyertai Perak FC yang dikhabarkan turut berminat dengan khidmatnya.

BACA LAGI: Tiada angin tiada ribut, import Tok Gajah kemas beg balik kampung, bukan pergi kelab Borneo

FB_IMG_1575219976059

Adam (kanan) pernah dijulang sebagai permata baharu pertahanan negara beberapa tahun lalu. Facebook/FAM

Namun, bagi bekas pemain Selangor terbabit, keputusan terbabit dibuat atas faktor peribadi selain pandangan bahawa kelab Pantai Timur tersebut dapat membantunya kembali ke puncak.

"Saya dan ahli keluarga yang lain percaya Sri Pahang FC dapat membantu karier saya. Tambahan pula, mereka juga sukakan Kuantan.

"Saya perlu membuka lembaran baharu selepas bertahun-tahun tidak dapat beraksi dengan kerap dalam Liga Super. Saya berasa bangga untuk berada di sini," katanya.

Ketika di awal kariernya, Adam diangkat sebagai antara bek tengah terbaik setelah membantu skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara meraih pingat gangsa Sukan SEA 2017.

Bagaimanapun, sejak menyertai JDT, pemain kelahiran Klang, Selangor itu jarang diberikan peluang sehingga menyaksikannya diletakkan dalam skuad simpanan.

BACA LAGI: Antara Seladang dan Tok Gajah, mana satu pilihan ideal Shahrel Fikri

2357006

Adam hanya beraksi dalam skuad simpanan Harimau Selatan musim lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tambahnya lagi, dia sedar bahawa satu-satunya cara untuknya meraih kepercayaan ketua jurulatih, Fandi Ahmad adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh.

"Ke mana sahaja saya pergi, saya tahu saya perlu berikan yang terbaik. Tetapi, persaingan di sini adalah cukup sihat dengan ia diperlukan sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

"Ramai pemain berpengalaman dalam pasukan ketika ini. Jadi, saya akan berikan 100 peratus dalam kesemua sesi latihan," katanya.

Selain Adam, skuad Tok Gajah turut mengumumkan kehadiran beberapa wajah baharu seperti Sean Selvaraj dari Negeri Sembilan FC dan T Saravanan dari Kuala Lumpur (KL) City FC.

Bagi kuota import pula, pasukan di tangga kelima Liga Super 2023 itu membawa masuk bek tengah dari Serbia, Aleksandar Cvetkovic di samping mengesahkan kepulangan penyerang sayap, Manuel Hidalgo. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram