Antara Seladang dan Tok Gajah, mana satu pilihan ideal Shahrel Fikri


  • Podium
  • Khamis, 07 Mac 2024

Shahrel Fikri kini dilepaskan oleh Negeri Sembilan FC dan berstatus sebagai ejen bebas. — Facebook/Negeri Sembilan FC

JODOH bekas penyerang utama Negeri Sembilan FC (NSFC), Shahrel Fikri Fauzi bersama pasukan itu berakhir selepas kontraknya tidak disambung bagi menghadapi kempen Liga Super musim 2024/25.

Kelab berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Shahrel Fikri atau mesra dengan panggilan Eky itu tidak lagi bersama skuad Jang bagi musim depan.

Susulan pemergian Eky dari pasukan NSFC itu, terdapat dua kelab dilihat berebut mahu mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu musim depan.

Sebelum ini, Eky dilaporkan akan berhijrah ke Pantai Timur dengan namanya kini disebut-sebut akan berpindah untuk menyertai Sri Pahang FC.

Bukan sahaja skuad Tok Gajah namun penyokong Perak FC sepertinya masih mengharapkan kepulangan Eky untuk beraksi bersama skuad kendalian Yusri Che Lah itu.

Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga sebab mengapa Sri Pahang perlu menyambar penyerang berbisa tersebut daripada menjadi milik skuad Seladang.

BACA LAGI: Cinta Lee Tuck buat Terengganu bukan baharu, masih mekar mewangi selepas bertahun

Shahrel Fikri

Shahrel Fikri (kiri) berpotensi untuk membantu skuad Sri Pahang musim depan. — Facebook/Negeri Sembilan FC

BACA LAGI: Dias menepati kriteria penyerang yang saya idamkan — Akmal Rizal

1. Pengalaman kebangsaan

Memiliki pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan pastinya satu kelebihan buat mana-mana pemain.

Kehadiran Eky dijangka mampu memperkuatkan bahagian serangan Tok Gajah kerana corak permainannya yang agresif berupaya membuahkan hasil.

Tampil cemerlang bersama skuad Jang, Eky pernah menarik perhatian Kim Pan-gon dan meletakkan Eky dalam senarai 27 pemain bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

2. Kuota pemain tempatan

Beraksi sebagai penyerang pastinya memberi kelebihan kepada Eky sebagai pemain tempatan, sekali gus memenuhkan kuota pemain lokal tanpa bergantung kepada import.

Ia berikutan apabila kehadiran Eky ke skuad Tok Gajah itu dilihat tidak mempunyai masalah untuk menjadi kesebelasan utama di posisi penyerang.

Sri Pahang mungkin menjadi destinasi pilihan tepat buat penyerang berusia 29 tahun itu sebagai peluang buatnya mengembalikan seri dalam kariernya yang sedikit malap ketika ini.

3. Tajamkan serangan

Berstatus sebagai ejen bebas ketika ini memberi peluang kepada Tok Gajah untuk menyambar penyerang kelahiran Sabah ini.

Pastinya kehadiran Eky ke skuad Tok Gajah itu dijangka berpeluang untuk mendapatkan minit permainan musim depan selepas mencatat tujuh gol peribadi dalam saingan Liga Malaysia musim 2023.

Malah, kehadiran Shahrel Fikri dijangka berpeluang untuk menyelesaikan ketumpulan jentera serangan Tok Gajah selepas melepaskan dua penyerang musim lalu, Lucas da Silva serta Rafael da Silva. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram