SELEPAS kehilangan pemain sayap dari Argentina iaitu Manuel Hidalgo, Kedah Darul Aman FC akhirnya berjaya menemukan pengganti bintang tersebut.
Hal ini kerana, Sang Kenari telah mendapatkan pemain sayap baharu dari Uzbekistan iaitu Sukhrob Nurullaev sebagai senjata baharu mereka di posisi tersebut.
Pemain berusia 26 tahun tersebut direkrut Kedah selama semusim sebenarnya merupakan rakan sepasukan bagi pertahanan baharu Selangor FC iaitu Umar Eshmurodov.
Hal ini kerana, kedua-dua pemain itu pernah bersama-sama di Uzbekistan apabila Nurullaev dan Eshmurodov pernah beraksi untuk Nasf Qarshi FC.
Apa yang menarik mengenai kehadiran pemain ini adalah Nurullaev sebenarnya mampu untuk beraksi di kedua-dua bahagian sayap padang walaupun dia lebih gemar bermain dekat bahagian kanan - sama seperti posisi Hidalgo musim lalu.
"Pemain berumur 26 tahun berasal dari Quraqol, Uzbekistan ini diikat selama setahun bagi mengisi bahagian serangan sayap pasukan KDA FC musim ini.
"Beliau mampu beraksi sama ada kanan dan kiri, memberi sedikit kelebihan dalam mencatur taktikal perlawanan buat Nafuzi Zain," kata Kedah dalam kenyataan mereka.
BACA LAGI: Kedah perlu berebut dengan Pahang, kelab Borneo jika mahu sambar 2 'winger' berkualiti
BACA LAGI: Ketibaan Umar Eshmurodov jadi rekrut pertama Selangor FC
Sama seperti Eshmurodov, Nurullaev merupakan pemain kebangsaan untuk Uzbekistan. Akan tetapi, perbezaan kedua-dua pemain ini adalah Nurullaev hanya mewakili negaranya di peringkat remaja.
Untuk rekod, peringkat tertinggi yang diwakili oleh Nurullaev bersama Uzbekistan adalah skuad bawah 23 tahun (B-23) dengan dia melakukan penampilan pertama pada Julai 2017.
Nurullaev merupakan pemain import pertama Kedah untuk musim 2024/2025 selepas pengurusan Sang Kenari melepaskan kesemua sembilan tenaga asing mereka.
Mereka dikhabarkan akan membawa dua bekas pemain Terengganu FC iaitu Sony Norde dan Habib Haroon namun hanya menanti pengumuman rasmi kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram