Tiada angin tiada ribut, import Tok Gajah kemas beg balik kampung, bukan pergi kelab Borneo


  • Podium
  • Rabu, 06 Mac 2024

Skuad Tok Gajah memiliki enam pemain import ketika ini dengan jumlah itu dijangka berubah pada jendela perpindahan kali ini. — Facebook/Sri Pahang FC

CITA-CITA skuad Tok Gajah untuk beraksi lebih baik musim depan dibuktikan dengan aktiviti perpindahan yang sibuk sepanjang tempoh pramusim ini.

Selepas mengumumkan kehadiran beberapa pemain lokal, Sri Pahang FC turut menandatangani penyerang import baharu, Mykola Ahapov dari Ukraine.

Hal tersebut menyaksikan kelab Pantai Timur itu sudah semakin lengkap untuk menjadi pencabar serius kepada takhta Liga Super 2024/25.

Namun, di sebalik aktiviti merekrut pemain baharu, terdapat perkhabaran penyerang dari Brazil, Rafael Silva akan meninggalkan skuad Tok Gajah.

BACA LAGI: Sri Pahang dikhabar salin 7 pemain tapi kepulangan Manuel Hidalgo jadi penantian

WhatsApp Image 2024-03-06 at 10.20.04

Rafael seakan-akan semakin hampir meninggalkan skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan kali ini.

Ia berikutan satu hantaran InstaStory penyokong bola sepak tanah air, _w4wan_ seolah-olah memaparkan mesej perpisahan buat pemain terbabit.

"Semoga maju jaya, sahabatku. Satu musim bersama Pahang, kita jumpa bila berpeluang. Semoga selamat perjalanan pulang ke Brazil," tulisnya.

Rafael Silva sebelum ini tiba di Stadium Darul Makmur, Pahang pada jendela perpindahan kedua Liga Super 2023 dengan harapan besar diletakkan di bahunya.

Namun, tiga gol dan hanya satu bantuan jaringan direkodkan dalam sembilan penampilan sepanjang musim menyaksikannya gagal meraih tempat dalam hati penyokong skuad Tok Gajah.

BACA LAGI: Tonggak HM puas raih gol sulung aksi musim 2023 bersama Sri Pahang

WhatsApp Image 2024-03-06 at 10.51.04

Rafael kurang memberi impak terhadap skuad Tok Gajah sepanjang separuh musim. Facebook/Sri Pahang FC

Tetapi, rekod kurang memberangsangkan itu tidak menghalang sebuah lagi kelab Liga Super, Kuching City FC yang pernah dikaitkan dengan penyerang itu beberapa minggu lalu.

Ia rentetan gaya permainan dan kelincahannya dikatakan sesuai dengan jurulatih, Aidil Sharin Sahak

Kehilangan Rafael pasti tidak akan terlalu dirasai Sri Pahang FC kerana Ahapov mampu menjadi calon terbaik untuk mengisi kekosongannya.

Selain itu, pemergiannya membuka ruang kelab Pantai Timur itu mendapatkan seorang lagi pemain luar negara dengan hanya enam kuota import diisi setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram